Menurut portal berita BBC, walaupun fenomena itu sering dilihat sebagai gerakan simbolik burung flamingo, tetapi bagaimana dan mengapa haiwan ber­kenaan mampu berdiri satu kaki dalam tempoh yang lama, masih menjadi tanda tanya para pengkaji.

Namun kajian terbaharu oleh Pengarah Makmal Perbandingan Neuromeka­nik Institut Teknologi Georgia, Profesor Young Hui Chang dan rakannya dari Universiti Emory, Lena H. Ting mendedahkan bahawa flamingo tidak menggunakan tenaga otot aktif ketika berdiri menggunakan se­belah kakinya.

Satu mekanisme pasif terlibat dalam kedudukan tersebut yang memboleh­kan burung flamingo untuk terus berdiri megah sambil tidur tanpa menggunakan banyak tenaga berbanding ketika berdiri dengan kedua-dua belah kakinya.

Menerusi kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal Royal Society, Laporan Biologi mereka menggambarkan fenomena ini sebagai ‘mekanisme pegun graviti pasif’.

“Jika anda melihat burung flamingo dari depan semasa mereka berdiri menggunakan satu kaki, posisi kaki tersebut berada tegak di bawah badan yang bermaksud bahawa kaki mereka berlipat ke dalam.

“Itulah gerakan yang perlu dilakukan untuk mewujudkan mekanisme pegun tersebut. Apabila mereka berdiri dengan satu kaki dan berehat, mereka hampir tidak bergerak sama sekali tetapi hanya akan bergoyang sedikit apabila postur itu digabungkan dengan akti­viti lain,” jelas Hui Chang.

Ahli psikologi eksperimen yang pakar dalam tingkah laku haiwan di Universiti St. Joseph di Philadelphia, Dr. Matthew Anderson menyifatkan penemuan pasukan itu sebagai maklumat penting dalam mengkaji pergerakan haiwan terbabit.

Sebelum ini pasukan pakar berpendapat posisi tersebut mungkin dilakukan untuk mengu­rangkan keletihan otot selain mengekalkan suhu badan mereka.