Taufan Haima yang dikatakan menyamai kekuatan Taufan Haiyan yang meragut lebih 7,000 nyawa pada 2013 membadai kawasan pe­dalaman di utara Filipina kira-kira pu­kul 11 malam waktu tempatan.

Pengarah Pusat Penyelaras Maklumat dan Bencana Kementerian Dalam Negeri Filipina, Allan Tabel berkata, taufan itu mempunyai diameter seluas 800 kilometer yang boleh menjejaskan lebih 10 juta penduduk di utara negara ini.

“Haima bukan hanya membawa hujan lebat dan angin kencang, malah boleh mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan ombak besar di kawasan pantai.

“Mereka yang berada di kawasan ini berada dalam bahaya. Sila cari tempat yang selamat,” kata Tabel.

Taufan Haima merupakan taufan kedua melanda Filipina minggu ini selepas Taufan Sarika yang juga ribut kategori empat di utara Filipina mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dengan 10,000 penduduk terpaksa berpindah.

Menurut agensi kaji cuaca Filipina, Haima menghampiri negara ini dengan membawa angin selaju 225 kilometer sejam dan boleh mencapai kelajuan 315 kilometer sejam.

Pihak berkuasa pada masa sama memberi amaran kepada penduduk berhampiran kawasan pantai bahawa taufan itu boleh mengakibatkan ombak setinggi lima meter.

Bagaimanapun, kawasan yang berada dalam laluan taufan itu tidak mempunyai ramai penduduk.

Sementara itu, pakar cuaca, Benison Estareja berkata, Taufan Haima menyamai kekuatan Hainan, namun kedua-dua taufan itu dibezakan dengan corak laluan angin yang akan melanda kawasan yang penduduknya sudah biasa dengan taufan.

Haima dijangka melepasi Luzon esok sebelum menghala ke selatan Hong Kong dan selatan China. – AFP