Gregorio Catapang Jr.

Portal berita abs-cbnnews.com melaporkan, arahan itu dikeluarkan selepas BIFF menyerang beberapa perkampungan di bahagian Maguindanao dan Cotabato Utara, sekali gus menyebabkan beribu-ribu keluarga terpaksa melarikan diri.

BIFF merupakan kumpulan serpihan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Saya berasa sedih dengan berita bahawa sekurang-kurangnya 20,000 orang telah kehilangan tempat tinggal ekoran serangan ganas yang dilakukan oleh BIFF ke atas beberapa perkampungan pedalaman. Kami akan lakukan yang terbaik bagi melindungi orang ramai supaya mereka boleh pulang ke rumah masing-masing.

Catapang mengarahkan beberapa unit komandernya untuk menjalankan beberapa operasi penguatkuasaan undang-undang bersama pasukan Polis Nasional Filipina (PNP) dalam rangka mekanisma gencatan senjata bagi mengelak bertempur dengan MILF.

Catapang juga mengarahkan komander bawahannya menyokong Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Sosial (DSWD) dan unit-unit kerajaan tempatan dalam membekalkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang kehilangan tempat tinggal.

Menurut Ketua Jabatan Pe­nerangan Awam AFP, Lt. Kol. Harold Cabunoc, mereka mempunyai maklumat BIFF telah melindungi pengganas paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS) Abdul Basit Usman yang menjadi salah satu sasaran dalam misi Mamasapano pada 25 Januari yang mengorbankan 44 anggota Pasukan Tindakan Khas.

Abdul Basit Usman juga merupakan seorang bekas anggota MILF yang dipercayai ada kaitan dengan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) dan Abu Sayyaf serta dikatakan mendalangi serangan bom di Mindanao sejak Oktober 2006.

“Kami menyeru semua rakyat untuk membantu kami mengesan Basit Usman dan sekutunya serta mengesan lokasi ahli BIFF yang berterusan menggunakan keganasan bersenjata untuk menyerang orang awam,” kata Cabunoc yang turut memburu Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di Sulu.