Kejadian itu berlaku seminggu selepas 15 orang maut dalam tragedi dua feri karam di Sumatera Selatan dan Makasar di kepulauan Sulawesi.

Kemalangan feri adalah perkara biasa di Indonesia, terutama ketika Aidilfitri apabila jutaan rakyat pulang ke kampung masing-masing.

Dipercayai 18 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini manakala seorang penumpang disahkan terkorban dalam kejadian itu yang berlaku lewat petang semalam.

Menurut pihak berkuasa, feri kayu itu mempunyai kapasiti 60 penumpang tetapi didakwa memuatkan penumpang berlebihan termasuk membawa berpuluh-puluh motosikal.

Tidak dapat dipastikan jika terdapat pelancong asing dalam feri itu.

Pegawai Kementerian Pengangkutan, Sri Hardianto berkata, misi menyelamat dimulakan sekitar pukul 7 pagi waktu tempatan dan keadaan cuaca hari ini jauh lebih baik berbanding semalam.

“Kami menjangkakan terdapat 80 penumpang berada di dalam feri itu namun pihak berkuasa masih menyiasat jumlah sebenar. Tetapi feri itu dikatakan dinaiki 128 penumpang,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPP) memaklumkan, satu laporan tidak rasmi menyatakan terdapat sehingga 130 penumpang dalam feri berkenaan yang karam apabila dipukul ombak tinggi dan angin kencang.

BNPP turut menggunakan robot dasar laut bagi membantu mengesan mangsa dan feri berkenaan.

Rakaman video oleh agensi terbabit juga menunjukkan sebuah feri lain mencampakkan pelampung dan jaket keselamatan ke arah penum­pang yang hampir tenggelam.

Dalam pada itu, Ketua Agensi Bencana Sumatera Utara, Riadil Lubis memberitahu, seramai 65 orang tampil memberitahu ahli keluarga mereka hilang dalam kejadian tersebut.

Selain itu, pihak berkuasa percaya feri tersebut berope­rasi secara haram memandangkan tiada tiket penumpang disediakan.

Ramai ahli keluarga masih menunggu berita dan maklumat terkini berhubung insiden tersebut.

Seorang daripada mang­sa yang terselamat, Juwita berkata, kejadian berlaku sangat pantas sehingga dia tidak sempat untuk memegang anaknya.

Operasi menyelamat dihentikan sementara semalam ekoran cuaca buruk dan jarak penglihatan terhad. – AGENSI