Fasa getir itu tercetus selepas beliau mendakwa Moscow sebagai dalang serangan agen saraf ke atas bekas ejen negara itu, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia pada 4 Mac lalu.

May turut memberitahu Parlimen bahawa Rusia gagal memberikan reaksi terhadap tuntutan beliau supaya menjelaskan bagaimana bahan kimia ciptaan Kesatuan Soviet, Novichok digunakan dalam serangan di bandar Salisbury itu.

Pakar farmakologi berkata, Novichok adalah kategori bahan kimia yang merangkumi lebih daripada 100 agen saraf dan dikembangkan oleh Rusia semasa peringkat akhir Perang Dingin.

Bahan itu jauh lebih berbahaya berbanding agen saraf VX atau sarin yang mengganggu denyutan jantung dan saluran pernafasan hingga boleh menyebabkan kematian.

Secara tiba-tiba May dilihat sebagai pemimpin Barat yang paling kuat kerana berani mengecam kerajaan Presiden Vladimir Putin.

Keputusannya bertentangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang enggan mengkritik Putin berikutan tuduhan bahawa Kremlin cuba membantunya dalam pemilihan Presiden dua tahun lalu.

Bagaimanapun pakar-pakar mengatakan di sebalik kenyataan tegasnya, May masih lagi berlembut dan terlalu berhati-hati dalam tindakannya sekalipun pengusiran diplomat Rusia itu merupakan yang terbesar sejak 30 tahun lalu.

Tindakan itu seakan-akan mencerminkan Britain masih mempunyai keinginan untuk mengekalkan tahap kerjasama dengan Rusia pada masa akan datang dan tidak mahu memutuskan hubungan itu sepenuhnya.

Tiada anggota keluarga diraja mahupun menteri akan menghadiri Piala Dunia di Rusia namun England tidak menarik diri daripada menyertai kejohanan sukan paling dinantikan itu.

Britain turut mengarahkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi menuduh Rusia cuba membunuh Skripal.

Sesi tersebut menjadi sebahagian daripada usaha besar May untuk mengukuhkan sokongan sekutunya terutama AS dan negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sebaliknya, Kremlin melihat peristiwa itu seakan-akan memihak kepada Putin yang bakal menggunakannya sebagai senjata untuk memenangi pilihan raya negara itu dan kemungkinan kecil yang sekutu Barat memiliki kehendak gabungan untuk me­ningkatkan sekatan.

Sekalipun mendapat soko­ngan, tidak jelas usaha itu akan memenangi hati sekutunya untuk meningkatkan tekanan ekonomi dan keselamatan ke atas Rusia yang sudah pun di bawah sekatan.

Jika dilihat, usaha sebelum ini untuk meminta Rusia bertanggungjawab terhadap salah laku antarabangsa terma­suk keracunan bekas pengintip di London pada tahun 2006 dengan isotop radioaktif, penggunaan gas sarin di Syria, campur tangan dalam pilihan raya di AS, turut me­nemui jalan buntu.