Mengulas kepada seruan untuk ketelusan firma teknologi itu selepas kontroversi Cambridge Analytica, Facebook menegaskan, langkah penutupan terbabit adalah bagi menghalang jutaan percubaan untuk mewujudkan akaun palsu pada setiap hari.

Namun, syarikat itu berkata, akaun palsu masih membentuk tiga hingga empat peratus akaun aktif.

Facebook mendakwa berjaya mengesan hampir 100 peratus spam dan membuang sebanyak 837 juta pos yang dikaitkan de­ngan spam dalam tempoh sama.

Firma itu pada masa sama mengeluarkan atau mengenakan amaran ke atas hampir 30 juta pos mengandungi gambar mengerikan atau lucah, propaganda pengganas atau ucapan kebencian pada suku pertama tahun ini.

Teknologi yang lebih baik menggunakan kepintaran buatan membantu Facebook bertindak ke atas 3.4 juta pos mengandungi imej mengerikan hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding suku terakhir 2017.

Menurut laporan itu, dalam 85.6 peratus kes, Facebook me­nge­san imej itu sebelum dimaklumkan kepada mereka oleh peng­guna.

Angka itu mewakili 0.22 dan 0.27 peratus daripada keseluruhan kandungan yang dilihat lebih dua bilion pengguna Facebook dari Januari hingga Mac.

“Dalam kata lain, daripada 10,000 kandungan yang dilihat, kira-kira 22 hingga 27 pos me­ngandungi imej mengerikan,” kata laporan itu. – AFP