Beliau berkata demikian ketika menjelaskan me­ngenai hala tuju masa depan Facebook yang antara lain me­nyatakan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan ‘berita palsu’ selagi berita itu dilabelkan dengan jelas.

Mirror UK melaporkan, Zucker­berg memberitahu bahawa para pengguna boleh menikmati kepelbagaian media dan membentuk pandangan yang seimbang selain daripada kebebasan mengeluarkan pendapat.

“Kita sudah berusaha membendung berita dan cerita palsu dan Facebook boleh melakukan lebih lagi.

“Misi kita adalah memberi gambaran sebenar kepada para pengguna. Ketika ini, Facebook sedang cuba membezakan antara berita palsu dan pandangan seseorang. Dalam masyarakat yang bebas, adalah penting untuk seseorang mempunyai kuasa serta kebebasan berkongsi pendapat walaupun orang lain fikir perkara itu salah,” tegasnya.

Tambah Zuckerberg, pihak­nya perlu memantau mesej-mesej yang dimuat naik dan mustahil bagi mereka untuk menyemak kesemuanya kecuali jika mempunyai aduan daripada pengguna.

“Terdapat kes-kes buli dan gangguan setiap hari, kita cuba beri penekanan kepada yang perlu. Kita masih lagi mencari jalan untuk membendung dan membantu apa yang boleh. Ketika ini Facebook masih dalam peringkat kajian untuk ‘membaik pulih’ sesetengah perkara,” ujarnya.