CALIFORNIA 15 Dis. – Peneraju media sosial, Facebook kini mula menghasilkan video seperti YouTube sebagai platform yang berpotensi untuk pengguna menjana pendapatan.
Pengarah Urusan Produk, Maria Angelidou-Smith dan Pengurus Produk Facebook, Abhishek Bapna berkata, video yang dikenali sebagai Watch itu akan mula ditayangkan tahun depan selepas satu iklan pendek disiarkan.
“Kami berpendapat video promosi sedia ada ketika ini tidak berfungsi dengan baik dalam setiap News Feed (iklan atau berita yang disiarkan).
“Justeru, Watch dihasilkan untuk mengatasi masalah itu kerana ia akan menjadi tumpuan pengguna Facebook untuk menonton video,” kata mereka menerusi satu status yang dimuat naik ke dalam blog.
Ketika ini, video promosi digunakan untuk menyokong video dalam talian yang lain, namun Facebook telah lama menggunakannya sebagai ‘iklan sementara’ ketika video dimainkan.
Dalam pada itu, Angelidou-Smith dan Bapna memberitahu, lebih banyak video dapat ditayangkan dalam News Feed itu menerusi kemas kini terbaharu ini.
“Kami menjangkakan, lebih banyak tontonan diterima daripada pengguna Facebook dengan adanya Watch ini,” ujar mereka.
Facebook juga dijangka meneruskan iklan sementara yang disiarkan dalam video yang berdurasi sekurang-kurangnya tiga minit, namun merancang untuk menangguhkan penyiaran iklan selama satu minit.
Pada masa yang sama, iklan sementara untuk video yang disiarkan secara langsung juga akan dikemas kini selain menyokong mana-mana halaman atau Pages dalam Facebook yang memiliki lebih daripada 50,000 pengikut. – AFP