Bank Pusat Singapura semalam telah membuat laporan polis terhadap artikel berkenaan yang ditulis oleh seorang penulis blog bebas dari Australia berhubung bank-bank negara ini yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Akses terhadap laman sesawang di Singapura ke laman sesawang States Times Review (STR) telah disekat oleh pembekal perkhidmatan internet setelah diarah berbuat demikian oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Media Info-Komunikasi (IMDA).

Melalui satu kenyataan, IMDA mendakwa artikel tersebut melemahkan keyakinan umum terhadap integriti kerajaan Singapura dan menjejaskan kepentingan umum selain laman sesawang itu menyiarkan kandungan artikel yang dila­rang.

Bagaimanapun artikel STR itu masih boleh dibaca di Facebook.

Kenyataan itu juga menyebut, IMDA telah meminta Facebook untuk membuang artikel itu, namun media sosial tidak bersetuju dengan permohonan IMDA.

Kementerian Undang-undang negara ini memaklumkan, Facebook enggan membuang artikel itu yang jelas palsu, memfitnah dan men­yerang Singapura.

Keputusan tersebut menye­babkan kementerian terbabit mempertimbangkan keperluan memperkenalkan undang-undang menyekat berita palsu.

“Facebook tidak boleh diharapkan untuk menapis atau melindungi Singapura daripada kempen maklumat palsu,” katanya. – Reuters