Ciri baharu itu diwujudkan ekoran kritikan lantang terhadap rangkaian media sosial gergasi tersebut yang baru-baru ini mendedahkan bahawa data milik berjuta-juta pengguna telah digunakan oleh firma Cambridge Analytica.

Firma berke­naan mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya Presi­den Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 2016.

Facebook mengakui perlu ‘melakukan lebih lagi bagi memaklumkan orang ramai’ dan perubahan itu sedang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Privasi, Erin Egan dan Timbalan Peguam Awam, Ashlie Beringer melalui blog memaklumkan pihaknya menerima aduan tentang tetapan privasi dan beberapa lagi instrumen penting yang sukar ditemukan.

“Kami mengambil langkah tambahan dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk memastikan pengguna mendapatkan lebih kawalan terhadap privasi masing-masing,” katanya.

Pembaharuan berkenaan termasuklah laluan mudah kepada tetapan pengguna Facebook dan instrumen carian mudah, muat turun dan memadam data peribadi yang tersimpan dalam laman sesawang yang digunakan dua bilion pengguna itu.

Menurut Facebook, me­nu jalan pintas tetapan privasi yang baharu itu membolehkan pengguna meningkatkan keselamatan akaun lebih pantas, mengendali pihak yang melihat maklumat dan aktiviti pengguna dan me­ngawal iklan yang mahu dilihat.

Egan dan Beringer berkata, terma perkhidmatan dan polisi data media sosial itu juga sedang diperbaharui bagi mening­katkan ketelusan tentang cara ia me­ngumpul dan menggunakan mak­lumat.

Facebook juga memaklumkan akan menutup ‘Kategori Rakan’ ciri yang membolehkan pengiklan menyasarkan pengguna khusus melalui gabungan maklumat dari Facebook dan data yang kemudian dikumpulkan oleh syarikat seperti Experian dan Acxiom. – AFP