Untuk itu, Facebook dikatakan terpaksa me­lantik juruaudit forensik dari firma Stroz Friedberg untuk menyiasat dan menentukan sama ada Cambridge Analytica masih menyimpan da­ta berkenaan.

Saham Facebook kemudiannya menjunam sebanyak berpuluh-puluh bilion dolar dengan penganalisis menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘episod kemusnahan’ dalam sejarah Face­book.

Demikian ditegaskan oleh Laith Khalaf di Hargreaves Lansdown yang turut menegaskan Facebook bakal kehilangan pengguna gara-gara skandal berkenaan.

Penyelidik dikatakan menjual data Facebook yang dikumpulkan melalui kuiz personaliti kepada Cambridge Analytica dan itu merupakan contoh amalan yang seharusnya dihalang atau ‘dihukum’ oleh Peraturan Perlindungan Data Peribadi (GDPR).

Malah, Facebook berdepan risiko perniagaan apabila peraturan privasi Kesatuan Eropah (EU) yang baharu ditetapkan berkuat kuasa pada Mei ini.

Menurut pemberi maklumat Christopher Wylie, yang sebelum ini bekerja dengan Cambridge Analytica, firma perunding itu menggunakan data untuk membantu Do­nald Trump untuk me­ramalkan dan mempengaruhi pilihan di kotak undi semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

‘Bahaya’ yang dihadapi oleh Facebook pada masa depan adalah dua kali ganda iaitu jika peraturan itu dipatuhi bermakna membiarkan pengguna di Eropah memilih untuk menolak daripada iklan dalam talian yang menjadi sumber keuntungan Face­book selama ini.

Selain itu, sekiranya me­langgar peraturan itu, Facebook akan dikenakan denda sehingga empat peratus daripada pendapatan tahunan.

Pengkritik Facebook dan aktivis kempen data perlindungan Austria, Max Schrems berkata, jika insiden tersebut berlaku selepas GDPR menjadi undang-undang pada 25 Mei ini, Facebook akan menanggung kerugian empat peratus daripada pendapatan globalnya.

Hal demikian kerana sejumlah besar data pengguna telah disalah guna yang hampir pasti akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut peraturan baharu itu.

Sebelum ini juga, Schrems telah membangkitkan kebimbangan pada 2011 tentang betapa mudahnya aplikasi pihak ketiga untuk memperoleh data dari rakan-rakan pengguna Face­book yang tidak disengajakan.

Bagaimanapun, Facebook memaklumkan telah menge­tatkan kawalannya terhadap amalan sedemikian sejak pe­nyalahgunaan data dibuat oleh Cambridge Analytica pada 2015.

Schrems yang juga pengasas None Of Your Business (NOYB) turut mengupah peguam dan mencari jalan bagi ‘tindakan undang-undang strategik’ terhadap pelanggaran privasi GDPR.

Sementara itu, rakan kongsi dan ahli privasi dan keselamatan data di firma undang-undang Philadelphia Fox Rothschild, Scott Vernick berkata, hakikatnya, Facebook tidak dapat mengawal data dan mengawasi apa yang dilakukan oleh pihak ketiga.

Vernick berkata, denda maksimum GDPR perlu dilaksanakan berikutan bilangan pengguna yang terjejas dan tidak sedar de­ngan amalan data pihak ketiga.

Sebelum ini, Naib Presiden Facebook, Andrew Bosworth dalam satu catatan Facebooknya berkata, Facebook telah me­ngubah dasarnya pada 2014.

“Kami menjalankan semakan untuk mengenal pasti jika terdapat aplikasi yang berpotensi pelanggaran dasar dan menilai sama ada mempunyai penggunaan yang sah untuk data itu.

“Kami sebenarnya menolak sejumlah aplikasi melalui proses ini,” katanya. – REUTERS/AGENSI