Dalam laporannya, pertubuhan itu mendakwa, perjanjian tidak munasabah EU dengan Libya mengakibatkan ribuan pelarian berdepan risiko lemas, rogol dan penderaan.

Katanya yang dipetik portal BBC, EU hanya memejamkan mata terhadap penyeksaan yang berlaku di pusat tahanan Libya dan dalam kebanyakan kejadian membiarkan pertubuhan kebajikan untuk menyelamatkan pelarian yang terapung di laut.

“Lebih 2,000 orang pendatang dan pelarian dilapor meninggal dunia setakat tahun ini sahaja ketika mereka cuba memasuki Eropah,” kata Amnesty.

EU bagaimanapun masih tidak membuat kenyataan balas berhubung laporan Amnesty itu.

Laporan Amnesty International disiarkan ketika menteri-menteri dalam negeri daripada 28 negara anggota EU mengadakan mesyuarat di Tallinn, Estonia bagi membincangkan krisis pelarian.

Mereka akan menyemak semula dana pelan tindakan berjumlah AS$92 juta (RM395 juta) yang diperkenalkan Suruhanjaya Eropah bagi menangani isu berkenaan.

Suruhanjaya itu mencadangkan supaya lebih 50 peratus daripada dana itu digunakan bagi meningkatkan keupayaan pasukan pengawal pantai Libya bagi menghentikan kegiatan penyeludupan manusia daripada membawa keluar pelarian ke laut.

Baki peruntukan itu akan digunakan bagi membantu Itali untuk menyediakan bantuan makanan, tempat tinggal dan urusan dokumen pelarian terlibat.

“Daripada melakukan usaha menyelamatkan nyawa dan menawarkan perlindungan kepada pelarian, menteri-menteri Eropah tanpa rasa malu mengutamakan perjanjian dengan Libya dalam usaha terdesak mereka menghalang pelarian daripada sampai ke Itali,” kata Pengarah Amnesty Eropah, John Dalhuisen.