Ibu kota wilayah Xinjing iaitu Urumqi yang menempatkan hampir kebanyakan etnik Uighur melancarkan kempen berkenaan bagi menyekat umat Islam daripada mempengaruhi kehidupan sekular dan juga didakwa menyebarkan fahaman ekstremisme.

Dalam satu pertemuan yang dilakukan pada Isnin lalu, pe­mimpin Parti Komunis Urumqi berikrar menentang gerakan penggunaan produk halal atau pan-halalization.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan menerusi akaun rasmi WeChat parti terbabit.

Kebiasaannya barangan halal seperti makanan dan ubat gigi harus dikeluarkan berdasarkan tuntutan agama Islam.

Menurut agensi berita Global Times, ‘tuntutan untuk menghalalkan sejumlah bara­ngan yang tidak boleh menjadi halal’ mencetuskan permu­suhan terhadap agama dan membenarkan umat Islam mempengaruhi kehidupan sekular.

Sebagai salah satu usaha untuk menyokong kempen ber­kenaan, Ketua Pendakwa Raya Uighur, Ilshat Osman menulis sebuah esei yang bertajuk ‘Kawan, anda tidak perlu mencari restoran halal terutamanya untuk saya’.

Selain itu, ujar parti ber­ke­na­an, kakitangan awam tidak sepatutnya mempunyai pantang-larang makanan dan kantin juga perlu diubah supaya mereka boleh menikmati ke­semua jenis makanan.

Pemimpin Parti Komunis Urumqi juga menegaskan mereka akan mengarahkan kakita­ngan awam serta anggota parti untuk percaya sepenuhnya kepada fahaman Marxisme-Le­ninisme dan bukannya agama selain bercakap bahasa Mandarin di khalayak ramai.

Penduduk China secara teo­rinya bebas untuk mengamalkan kebebasan beragama tetapi mereka sering kali menjadi sasaran pengawasan kerajaan. – REUTERS