Aktivis Rohingya, Nay San Lwin mendakwa, selepas Bangladesh menghalang kemasukan etnik itu ke negara berkenaan, etnik Rohingya di Maungdaw tidak mempunyai pilihan lain jika mereka terus kekal di daerah tersebut.

“Lambat laun mereka akan mati kerana sejak 9 Oktober lalu, sebanyak 400 orang awam dibunuh manakala banyak lagi penduduk yang cedera mengakibatkan kira-kira 40,000 etnik Rohingya kini menjadi pelarian.

“Dalam tempoh sama, seba­nyak 150 orang wanita termasuk kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dirogol tentera dan polis sempadan yang setakat ini telah membakar sebanyak 2,000 buah rumah daripada 13 buah kampung,” katanya.

San Lwin berkata demikian ketika ditemu bual portal berita Al-Jazeera dari Frankfurt sebagaimana lapor Rohingya Blogger.

Rohingya

Ketika ditanya tentang punca keganasan di Maungdaw, San Lwin menjelaskan, kerajaan mendakwa tentang kemunculan sebuah kumpulan pejuang bernama Ahkamul Mujahiddin di daerah itu namun organisasi ber­kenaan sama sekali tidak wujud.

Tegasnya, memang wujud kumpulan kecil bernama Al-Yaqin dalam kalangan etnik Ro­hingya namun kumpulan itu diwujudkan bagi membela hak asasi kumpulan minoriti berkenaan, bukannya bagi tujuan keganasan.

“Sebenarnya, kerajaan sedang membunuh orang awam tidak berdosa selain menggunakan nama memerangi keganasan sebagai cara membersihkan etnik Rohingya yang dinafikan kerak­yatan Myanmar,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Adrian Edwards menggesa kerajaan Bangladesh supaya membuka pintu sempadannya dengan Myanmar bagi membolehkan etnik Islam Rohingya melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.

“UNHCR amat bimbang tentang keselamatan dan nasib orang awam di bahagian utara Rakhine. Kami menggesa Myanmar supaya melindungi orang awam di wilayah mereka berdasarkan undang-undang dan tanggungjawab antarabangsa.

“Kami juga merayu kerajaan Bangladesh membuka sempadannya dan memberi laluan kepada orang awam yang me­larikan diri daripada keganasan di wilayah Rohingya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Global New Light of Myanmar melaporkan, perkampungan di bahagian selatan Maungdaw dalam keadaan aman semalam namun penduduk meminta tahap keselamatan mereka ditingkatkan selepas dua asrama guru di Myinlook musnah dalam kebakaran, Khamis lalu.

“Orang awam kini hidup dalam ketakutan selepas pemisah membakar bangunan asrama. Anak-anak kami belajar di sekolah itu, kami tidak pernah menggalakkan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini,” jelas portal itu.

Tinjauan portal itu juga mendapati, kebanyakan kampung di selatan masih dalam keadaan aman berbanding di kampung di kawasan utara.