Pesuruhjaya Keselamatan EU, Julian King berkata, tindakan anggota kumpulan itu pulang ke negara asal mereka akan mendatangkan ancaman serius yang perlu ditangani segera oleh negara-negara EU.

“Penguasaan semula kubu kuat Daesh di Mosul akan mengakibatkan kepulangan anggota Daesh ke Eropah,” katanya kepada akhbar harian Jerman, Die Welt.

Tentera Iraq yang disokong 39,500 anggota tentera dari 60 buah negara melancarkan operasi ketenteraan ke atas Mosul bagi menguasai semula bandar kedua terbesar Iraq daripada penguasaan kumpulan militan ber­kenaan sejak 2014.

Operasi itu diketuai kira-kira 30,000 tentera Iraq yang dibantu pejuang Kurdis dan sukarelawan puak, 7,500 tentera Amerika Syarikat (AS) dan 2,000 tentera Turki.

Dalam pada itu, operasi ketenteraan didakwa berjaya menguasai semula sebanyak 200 kilometer persegi kawasan sekitar Mosul daripada penguasaan militan Daesh, sehari selepas operasi itu dilaksanakan, semalam.

Presiden Kurdistan Iraq, Masoud Barzani membuat pengumuman itu ekoran pelancaran operasi besar-besaran tersebut yang dilancarkan dari kawasan selatan dan timur Mosul.

“Hari ini merupakan titik penentu dalam perang ke atas keganasan. Buat pertama kali, pejuang Kurdis dan tentera Iraq bekerjasama dan berlawan di kawasan yang sama,” katanya sebagaimana lapor Al-Jazeera.

Jrucakap tentera Amerika, Kolonel John Dorrian berkata, AS melancarkan serangan udara di Mosul bagi melemahkan kawasan yang dikuasai Daesh sekali gus membantu kemaraan tentera Iraq.

“Kami menyediakan khidmat risikan dan logistik iaitu kemampuan yang dimiliki tentera perikatan dan dapat membantu kemaraan tentera Iraq,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Pentagon, Peter Cook berkata, operasi ketenteraan oleh tentera Iraq ke atas Mosul mendahului jadual ditetapkan dan menyifatkan pertempuran berkenaan akan berlanjutan dan agak sukar.

“Petunjuk awal menunjukkan tentera Iraq mencapai objektif mereka dan mereka sedang mendahului jadual pada hari pertama operasi,” katanya. – AFP/AGENSI