Akhbar prokerajaan, Sabah melaporkan, perintah berkurung dikuatkuasakan susulan berlakunya cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016 dan dilanjutkan setiap tiga bulan.

Baru-baru ini, Erdogan menjelaskan pihaknya akan menamatkan pelaksanaan perintah tersebut jika memenangi pilihan raya Presiden pada 24 Jun.

Erdogan memenangi 53 peratus undian dalam pilihan raya itu bagi membolehkannya mentadbir Turki, sekurang-kurangnya sehingga 2023.

Kemenangan tersebut membolehkannya menjadi Presiden pertama Turki dengan kuasa eksekutif selain mengukuhkan penguasaan beliau ke atas negara yang mempunyai populasi seramai 81 juta penduduk itu.

Bagi memenuhi janji menamatkan perintah berkurung, Erdogan dan rakan sekutunya iaitu pemimpin Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), Devlet Bahceli mengadakan satu pertemuan petang semalam.

Menurut sumber, Erdogan akan memperuntukkan MHP dalam jawatan Kabinet sebagai menghargai sokongan parti itu kepada parti pimpinan Erdogan, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Parlimen.

“Dalam rundingan itu, perjanjian dicapai supaya tidak melanjutkan tempoh perintah darurat,” lapor Sabah tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai pertemuan itu. – REUTERS

Laporan itu juga tidak memperincikan sumber kepada laporan berkenaan.

Perintah darurat membolehkan Erdogan dan kerajaan melangkaui peranan Parlimen dalam meluluskan undang-undang baharu selain membolehkan mereka menangguhkan hak dan kebebasan.

Pengkritik mendakwa Erdogan menggunakan perintah darurat sebagai alasan menangkis perbezaan pendapat ketika Turki menegaskan langkah itu dibuat bagi mengelak ancaman keselamatan. – REUTERS