Ketua Lembaga Daftar Pemilih itu, Sadi Guven berkata, kertas undi tanpa dicap dikeluarkan oleh Lembaga Tertinggi Pilihan Raya, sekali gus menjadikan ia sah untuk diguna pakai.

Dua parti pembangkang Turki sebelum ini mempertikai keputusan pungutan suara yang memihak kepada Erdogan untuk mengekalkan kuasanya sehingga tahun 2029.

Parti Rakyat Repulikan (CHP) menuntut agar 60 peratus daripada undian itu dikira semula dan mengkritik keputusan untuk menerima kertas undian tidak bertanda sebagai sah kecuali jika terbukti sebaliknya.

Sehingga kini pengiraan undi yang hampir 99.45 peratus selesai menunjukkan 51.37 pengundi mengatakan ‘ya’ dan 48.63 peratus mengatakan ‘tidak’ manakala lembaga daftar pemilih memberi kemenangan kepada kempen ‘ya’.

Penyokong-penyokong Erdogan berarak di bandar-bandar besar manakala kumpulan pembangkang memukul periuk dan kuali sebagai tindakan simbolik dan tradisional bagi membantah keputusan itu.

Dalam pada itu, tiga orang ditembak mati di sebuah pusat pengundian di tenggara wilayah Diyarbakir dipercayai akibat pergaduhan tentang cara pengundian.

Menurut laporan portal BBC, Suruhanjaya Eropah menyifatkan kerajaan Turki cuba ‘mendapatkan persetujuan negara sebanyak mungkin’ apabila me­laksanakan perubahan perlembagaan itu.

Erdogan juga menegaskan bahawa kemenangan yang jelas itu harus dihormati malah mencadangkan satu lagi pungutan suara untuk mengembalikan semula hukuman mati yang mungkin akan menamatkan rundingan antara negara ini dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam pada itu, Timbalan Pre­siden Turki, Veysi Kaynak mengakui undian yang menyokong adalah le­bih rendah daripada jangkaan.

Melalui perlembagaan baharu, pilihan raya Parlimen dan presiden dijangka akan diadakan pada 3 November 2019 manakala presiden akan memegang jawatan itu selama lima tahun iaitu tempoh maksimum dua penggal.

Presiden juga berhak melantik secara terus pegawai-pegawai tertinggi awam termasuk para menteri selain boleh melantik seorang atau beberapa Naib Presiden.

Perubahan pelembagaan itu turut membolehkan presiden campur tangan dalam hal-hal perundangan manakala jawatan Perdana Menteri yang kini dipegang oleh Binali Yildirim akan dimansuhkan.