Dua menteri Turki telah dilarang daripada berucap kepada rakyatnya yang berada di Eropah dalam satu perhimpunan di Rotterdam, kelmarin dan salah seorang daripadanya di­iring keluar sehingga sempadan ke Jerman.

Menteri Keluarga Turki, Fatma Betul Sayan Kaya dilapor tiba di Rotterdam menerusi jalan darat, kelmarin tetapi beliau dilarang masuk ke konsulat Turki di Belanda dan dihantar pulang ke sempadan Jerman oleh polis Belanda.

Menteri Lu­ar Turki, Mevlut Cavusoglu yang tiba dengan menggunakan laluan udara juga dilarang ma­suk ke negara tersebut sebelum menyifatkan Belanda sebagai sebuah negara berfahaman fasisme.

Pada masa yang sama, Kerajaan Belanda menegaskan bahawa perhimpunan yang membenarkan pemimpin Turki berucap kepada para penyokongnya di negara itu, hanya akan meningkatkan ke­tegangan beberapa hari sebelum menje­lang pilihan raya umum kerajaan Belanda sendiri yang berdepan dengan cabaran daripada parti anti-Islam Geert Wilders.

Menurut BBC, dua menteri Kabinet Turki mengadakan perhimpunan di Belanda untuk meningkatkan sokongan sejumlah 400,000 rakyat Turki di Belanda yang layak mengundi dalam pungutan suara yang bertujuan memperluaskan lagi kuasa Presiden Turki pada 16 April. Difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 5.5 juta rakyat Turki di Eropah termasuk 1.4 juta di Jerman.

Perhimpunan berkenaan ketika ini telah mengakibatkan hubungan antara Ankara dan beberapa buah negara lain terma­suk Jerman dan Perancis dalam Kesatuan Eropah terjejas.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menolak untuk memohon maaf berhubung langkah Amsterdam melarang masuk dua menteri Turki ke negara ini dan berharap pertikaian diplomatik akan segera dikurangkan.

“Sudah tentu tiada alasan bo­leh diberikan, mereka seharus­nya perlu meminta maaf atas apa yang berlaku semalam,” kata Rutte.

Belanda nyata berang dengan kenyataan Erdogan yang menya­makan negara itu dengan Nazi ekoran larangan itu

“Negara ini, seperti dijelaskan Datuk Bandar Rotterdam semalam menjadi mangsa pengeboman semasa Perang Dunia Kedua oleh Nazi dan sudah tentu sukar menerima kenya­taan itu dengan cara ini,” tegas Rutte. – AGENSI/AFP