Selain itu, beliau mengarahkan penutupan semua sekolah tentera dan digantikan dengan universiti tentera sebagai usaha merombak semula struktur ketenteraan negara ini yang terjejas ekoran insiden pada 15 Julai lalu.

“Kerajaan akan mengemukakan perubahan kecil Perlembagaan kepada Parlimen dan sekiranya diluluskan, Pertubuhan Perisikan Kebangsaan (MIT) dan ketua turus tentera akan diletakkan di bawah kawalan Presiden.

“Malah panglima tentera darat, udara dan laut juga perlu memberi laporan kepada Menteri Pertahanan, Fikri Isik,” katanya ketika wawancara bersama ste­sen televisyen A-Haber, semalam.

Bagi melaksanakan perubahan itu, kerajaan Erdogan masih memerlukan sokongan daripada parti pembangkang bagi meraih majoriti dua pertiga dalam Parlimen.

Usul perubahan itu yang diumumkan kira-kira dua minggu selepas kejadian rampasan kuasa oleh pihak tentera, bakal me­ngukuhkan kuasa Erdogan sebagai Presiden dalam mengawal agensi perisikan dan tentera.

Erdogan turut mengakui kurang gembira dengan maklumat yang diterima daripada MIT dan ketua agensi tersebut, Hakan Fridan yang gagal melakukan risikan dengan baik bagi mengelakkan rampasan kuasa.

“Kejadian terbabit berpunca akibat kegagalan perisikan,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Turki membatalkan kira-kira 50,000 pasport rakyatnya sebagai usaha memburu pembelot yang cuba menjatuhkan Erdogan.

Setakat ini, kira-kira 18,699 orang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dalam komplot itu termasuk wartawan, pegawai tentera, hakim dan golongan akademik. – AFP