Dalam temubual pertama selepas mengisytiharkan darurat di negara ini semalam, Erdogan tidak menolak kemungkinan berlaku cubaan rampasan kuasa lagi, namun menegaskan tindakan itu tidak akan berlaku dengan mudah kerana mereka kini lebih berhati-hati.

“Amat jelas terdapat kele­mahan ketara dalam unit perisik­an, tidak perlu disembunyikan atau dinafikan tentang perkara itu. Saya telah memaklumkan perkara itu kepada ketua perisikan negara,” kata Erdogan kepada Reuters di kediamannya di Ankara, yang turut menjadi sasaran semasa cubaan rampasan kuasa itu.

Menurut beliau, mesyuarat Majlis Tertinggi Tentera (YAS) iaitu badan tertinggi yang memantau pasukan tentera Turki yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini akan dipercepatkan bagi mengawasi penstrukturan semula angkatan tentera Turki.

Mesyuarat tersebut akan dipe­ngerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri Pertahanan dan ketua-ketua turus tentera.

Semasa temubual itu, Erdogan tidak memberi jawapan berterus terang ketika ditanya sama ada cubaan rampasan kuasa berkenaan telah menggagalkan rancangannya untuk mengubah Perlembagaan dan mengukuhkan kuasanya dengan menjadikan Turki sebagai negara yang mempunyai sistem Presiden sepenuhnya.

Namun, kata beliau, lebih ba­nyak pakej perubahan dalam Perlembagaan akan dapat dipersetujui dengan pihak pembangkang.

Menurut Erdogan, tindakan beberapa ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pelaksanaan darurat walaupun Turki sedang menghadapi masalah, perlu difikirkan dan menunjukkan keperluan untuk membina permuafakatan dengan pihak pembangkang.

“Jika kita boleh mencapai permuafakatan... kita akan bawa kepada rakyat dalam bentuk pungutan suara,” katanya tentang pakej perubahan Perlembagaan itu.

Sementara itu, Turki terus memberi tekanan kepada Amerika Syarikat (AS) supaya menghantar pulang pelarian politik, Fethullah Gulen yang dipercayai terlibat dalam cubaan rampasan kuasa di Turki.

Menteri Luarnya, Mevlut Cavusoglu berkata, Washington tidak perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk berbuat demikian, walaupun Washington meminta Ankara membuktikan Gulen mempunyai kaitan dengan komplot rampasan terbabit.

“Jika AS sengaja memanjangkan kes penghantaran pulang Gullen ke Turki, maka proses itu akan memakan masa bertahun-tahun, sedangkan Washington mampu menyelesaikan isu ini dalam tempoh singkat jika bertindak tegas.

“Turki sedia berbincang dengan AS berhubung isu tersebut tetapi perlu diingatkan bahawa Gulen tidak boleh pergi ke negara lain dalam tempoh perbincangan itu,” katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa di Athens menghantar pulang askar Turki yang ditahan di Greece selepas terlibat dalam rampasan kuasa untuk menggu­lingkan Erdogan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kehakiman Turki, Bekir Bozdag mahu hukuman mati dikenakan ke atas pembelot mengikut pertimbangan undang-undang dan bukan menurut kehendak atau pandangan Kesatuan Eropah (EU).