Beliau akan mengangkat sum­pah sebagai Presiden baharu Zim­­babwe dalam satu upacara rasmi di sini esok, sekali gus memulakan era pemerintahannya di negara itu yang menjanjikan pembaharuan demokrasi dan ekonomi.

Mnangagwa yang mempunyai hubungan baik dengan pasukan tentera dan keselamatan di Zimbabwe ketika berucap memberitahu kepada semua pe­­nyokongnya bahawa mereka adalah saksi kepada era baharu demokrasi di negara ini.

Beliau berucap buat kali pertama sejak dipecat oleh Mugabe sebagai Timbalan Presiden pada 6 November ekoran didakwa cuba merampas kuasa pentadbiran.

“Hari ini kita menyaksikan permulaan era baharu demokrasi di negara kita. Kita akan bangunkan ekonomi, wujudkan peluang pekerjaan yang banyak dan semua pihak perlu bekerjasama,” katanya.

Kepulangan beliau ke negara ini disambut meriah oleh semua penyokongnya, selain dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Sebelum itu, Mnangagwa yang tiba dari Afrika Selatan bertemu dengan pegawai-pegawai kanan parti pemerintah, ZANU-PF sebelum menuju ke State House yang merupakan pusat pentadbiran untuk mendengar taklimat.

Dalam pada itu, penduduk tempatan melahirkan kegembiraan selepas Mugabe meletak jawatan dan berharap kemajuan di negara ini dapat ditingkatkan seiiring dengan kemajuan dunia.

Seorang graduan sains dan teknologi, Remigio Mutero, 30, berkata, dia berasa gembira melihat Mnangagwa bakal mentadbir kerajaan tidak lama lagi.

“Beliau memberi ucapan yang sangat menarik. Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya ketika ini apabila melihat Mnangagwa. Apa yang saya impikan ketika ini adalah untuk mendapat pekerjaan dan menjalani kehidupan yang selesa,” ujarnya.

Di jalan-jalan utama, berita kepulangan Mnangagwa disambut dengan tarian dan sorakan kegembiraan penduduk tempatan sambil mereka membunyikan hon kereta.

Seorang lagi penduduk, Ta­lent Chamunorwa menyatakan dia berharap pentadbiran baharu kelak dapat membenarkan rak­yat negara ini mengeluarkan duit daripada bank, selain membenarkan kemasukan aliran dolar AS dalam pasaran tempatan.

Hal itu disebabkan oleh Zimbabwe sebelum ini berdepan dengan masalah kekurangan wang tunai yang serius kemun­culan pelbagai skim penipuan saham yang merugikan ramai penduduk.

Sementara itu, lidah rasmi Zim­babwe, The Herald turut me­lahirkan harapan bahawa pentadbiran Mnangagwa akan membawa perubahan yang positif kepada negara ini. – AFP