Dengan memakai uniform berwarna jingga, anggota Parlimen dari Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpin Suu Kyi tiba di Naypyidaw pada hari pertama bertugas selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya pada November lalu.

Beliau duduk bersendirian dalam Dewan Parlimen pada sesi pembukaan yang menyaksikan upacara mengangkat sumpah dilaksanakan dan pelantikan sekutu rapatnya, Win Myint sebagai Speaker Dewan Rakyat.

“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi dunia politik Myanmar dan peralihan demokrasi,” kata Win Myint dalam ucapannya.

Kerajaan baharu Myanmar menggalas tugas sukar untuk membina semula ekonomi negara yang disenarai sebagai satu daripada negara termiskin di Asia Tenggara selepas diperintah kerajaan junta selama berpuluh-puluh tahun.

Kebanyakan anggota Parlimen dari Parti NLD masih mentah dalam dunia politik dan tidak berpengalaman dalam urusan perniagaan kerajaan selain perlu pantas membuat keputusan dalam soal perundangan memandangkan pihak tentera mempunyai 25 peratus kerusi dalam Parlimen.

Suu Kyi, 70, dilarang untuk menjadi Presiden berdasarkan undang-undang yang digubal oleh tentera kerana beliau berkahwin dengan rakyat asing.

Bagaimanapun, pemimpin wa­nita itu berikrar untuk mengetepikan cabaran tersebut de­ngan memerintah menggunakan proksi Presiden walaupun beliau masih belum mendedahkan pi­lihannya untuk menggalas jawatan tertinggi negara ini.

Wakil rakyat dari Dewan Rak­yat dan Dewan Parlimen serta pihak tentera akan menamakan tiga calon bagi menggantikan Presiden, Thein Sein yang akan menamatkan tugas pada hujung bulan Mac.

Presiden baharu akan dipilih berdasarkan undian kedua-dua dewan. – AFP