Lapor BBC, satu daripada empat enjin pesawat Airbus A380 penerbangan AF66 dikatakan gagal berfungsi ketika berada di barat Greenland.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut dan kesemua penumpang tidak dibenarkan keluar dari pesawat selama beberapa jam selepas pesawat itu mendarat pada pukul 3.42 petang waktu tempatan.

Pesawat itu membawa seramai 496 penumpang dan 24 anak kapal ketika kejadian itu berlaku.

Seorang bekas mekanik kapal terbang yang merupakan antara penumpang dalam pesawat itu, David Rehmar memberitahu bahawa insiden tersebut berlaku disebabkan kipas gagal berfungsi.

“Kami terdengar satu bunyi kuat dan pesawat bergegar seketika, menyebabkan semua penumpang panik.

“Saya ingat pesawat itu akan terhempas, namun berdasarkan pemantauan saya, pesawat tersebut menghadapi masalah enjin,” katanya.

Rehmar turut memaklumkan bahawa juruterbang pesawat berkenaan segera menutup enjin yang bermasalah bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku.

Pesawat itu kemudian terbang selama sejam menggunakan tiga enjin sebelum mendarat di Lapangan Terbang Goose Baydi Labrador, timur Kanada.

Gambar yang diambil oleh penumpang menunjukkan sebahagian daripada enjin berkenaan rosak dengan permukaannya tercabut.

Turut terjejas adalah permukaan sayap kapal terbang tersebut. - AGENSI