Kami berjaya menahan enam individu yang disyaki di bawah undang-undang tentera. Seorang daripada mereka mengakui terlibat dengan serangan bom tersebut dan menyertai gerakan (militan) 2011, kata Ketua Tentera Task Force Pattani Mej Jen Chatuporn Kalampasut.

Pihak tentera Thailand turut membawa seorang daripada suspek itu pada sidang media di sini, hari ini.

Suspek terbabit menutup mukanya sepanjang sidang media serta lawatan ke lokasi kejadian.

Dalam kejadian yang berlaku pada 6.10 pagi waktu tempatan, bom buatan sendiri yang diletakkan bawah tanah telah meletup ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa anggota tentera sedang melaluinya.

Bom seberat antara 80 hingga 100kg itu meletup dan memusnahkan kenderaan tentera itu, menyebabkan empat anggota maut dan enam lain cedera.

Sementara itu, pada kira-kira 11 pagi ini waktu tempatan, sebutir bom dianggarkan seberat 20kg meletup di pos kawalan berhampiran Kampung Parai, Mae-lan di sini.

Seorang penduduk tempatan cedera dalam kejadian terbabit. - BERNAMA