Rangka keluarga mamot itu termasuklah rangka anak mamalia ber­kenaan yang berusia setahun dan yang pertama kali pernah ditemukan di dunia ini dalam keadaan sempurna.

Rangka tersebut ditemukan oleh sekumpulan pekerja binaan dekat sebatang sungai di bandar Tomsk, barat daya Siberia Taiga pada 2002.

Pakar arkeologi percaya keluarga mamalia itu melalui kehidupan yang sukar semasa penghujung zaman Pleistosen.

Anak mamot berusia setahun itu dijangka menjadi tumpuan kerana penemuan rangka berusia setahun yang sempurna amat jarang berlaku.

Portal Daily Mail melaporkan, ahli arkeologi percaya keluarga mamot itu terkorban akibat bencana alam selepas rangka yang ditemukan tidak mempunyai sebarang parut.

Keluarga mamot itu terdiri daripada seekor mamot jantan dan seekor betina dewasa berusia 45 tahun, seekor mamot betina sembilan tahun dan seekor mamot ber­usia setahun.

Harga bidaan untuk rangka mamalia itu akan bermula pada 250,000 pound (RM1.4 juta) dalam majlis yang akan diadakan di Summers Place Auctions di Billingshurst, West Sussex pada 21 November ini.

Pakar Sejarah Alam Semula Jadi Summers Place Auctions, Rupert van der Werff berkata, bidaan tertinggi pernah dicatatkan untuk lelongan rangka mamot ialah 150,000 pound (RM834,779) semasa majlis lelongan pada 2014.

Kurator Sejarah Alam Semula Jadi Summer Place Auctions, Errol Fuller yang juga penulis beberapa buah buku tentang mamot berkata, kira-kira 20,000 tahun lalu sekumpulan mamalia itu berkeliaran di kawasan sekitar Eropah, Asia dan Amerika Utara namun jumlahnya semakin berkurangan manakala saiz tubuh mamalia itu semakin kecil.

“Keluarga mamot itu merupakan contoh penting kepupusan mamot berikutan perubahan cuaca dan gangguan manusia,” katanya.