Wanita warga Myanmar itu pula didakwa atas kesalahan memasuki secara haram dan cuba keluar secara haram dari Singapura.

Menurut Pihak Berkuasa Imigresen Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura hari ini, pada 28 Februari, kira-kira pukul 7.45 petang, para pegawainya menghentikan sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Kereta itu dipandu oleh seorang wanita Malaysia berusia 42 tahun dan membawa seorang lagi penumpang wanita Malaysia.

Semasa melakukan pemeriksaan, para pegawai menemui seorang lagi wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri bersembunyi dalam bonet kereta tersebut.

Ketika sedang menjalankan siasatan, ICA berkata, para pegawainya terlihat satu lagi kereta yang didaftarkan di Malaysia di kawasan pasca imigrasi dengan enjinnya masih hidup.

Mengesyaki bahawa kereta yang terbiar itu ada kaitan dengan kereta yang pertama, pegawai ICA dengan pantas menutup pintu pemeriksaan pada pukul 8.03 malam.

Sejurus kemudian seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta kedua itu dicekup, dan pintu pemeriksaan dibuka semula pada 8.10 malam.

ICA berkata,siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu serta penumpang kedua-dua kereta tersebut bersubahat dalam cubaan menyeludup keluar wanita tersebut yang disahkan sebagai warga Myanmar. - BERNAMA