Menurut yayasan itu dalam kenyataannya, kaedah tersebut akan diuji pada pertengahan tahun ini di kawasan terbuka di Laut Utara, kira-kira 23 kilometer dari pesisiran pantai Belanda dengan melibatkan penggunaan empangan terapung sepanjang 100 meter.

Sebelum ini, kebanyakan program pembersihan laut menggunakan bot dan jaring untuk memerangkap sampah yang terapung, tetapi teknik itu turut menjejaskan hidupan laut seperti ikan dolfin dan anjing laut yang turut terperangkap.

Namun portal Mail Online yang memetik kenyataan yayasan terbabit melaporkan, menerusi kaedah empangan terapung, hanya sampah sarap sahaja akan terperangkap dan tidak mengganggu habitat ikan atau hidupan laut lain.

Idea berkenaan dikemukakan oleh perintis tempatan, Boyan Slat, 21 yang menyasarkan untuk membersihkan berjuta-juta tan sampah yang diperbuat daripada plastik dengan menggunakan kaedah efisien dan mesra alam.

Menurut Yayasan Ocean Cleanup, ujian percubaan di kawasan laut terbuka akan dilakukan susulan kejayaan teknik itu yang dipraktikkan di kawasan tasik di Belanda.

Menjelang tahun 2020, yayasan tersebut berharap dapat memasang empangan terapung berbentuk V sepanjang 100 kilometer di kawasan laut Pasifik Utara yang mengalami masalah pencemaran teruk.

Berdasarkan statistik Universiti Georgia, Amerika Syarikat, antara 4.7 juta tan dan 12.7 juta tan plastik mencemarkan laut pada 2010 dan angka tersebut dijangka meningkat saban tahun.

“Antara tahun 2010 dan 2025, kira-kira 155 juta tan plastik dijangka dibuang ke laut, sekali gus memberi kesan buruk terhadap persekitaran dan habitat hidupan laut,” jelas universiti itu menerusi kenyataannya.