Kini, Lapangan Terbang Gatwick muncul sebagai satu-satu lapangan terbang di dunia yang melancarkan satu sistem tekno­logi petunjuk untuk membantu orang ramai menuju ke pintu pelepasan dengan cepat dan mudah, sekali gus mengelak daripada ketinggalan pener­bangan.

Menurut laporan portal Daily Mail, sebanyak 2,000 alat isyarat sudah dipasang di lapangan terbang tersebut bagi memboleh­kan sistem teknolgi petunjuk yang hampir serupa dengan permainan Pokemon Go itu ber­operasi.

“Bagi mengelakkan masalah gangguan satelit yang menjejaskan operasi navigasi, Lapangan Terbang Gatwick menggunakan sistem penentu kedudukan ber­asaskan isyarat yang memboleh­kan penumpang menggunakan aplikasi tersebut dengan mudah termasuk di dalam pesawat.

“Sistem isyarat juga membolehkan aplikasi penentu arah diperkukuhkan dan penumpang boleh memperoleh arahan dalam paparan kamera telefon pintar mereka, sekali gus memudahkan penumpang untuk mengesan kedudukan pintu pelepasan,” jelas laporan tersebut.

Teknologi navigasi baharu itu kini dalam proses kemas kini dan Lapangan Terbang Gatwick turut mengadakan perbincangan de­ngan lapangan terbang lain untuk membolehkan sistem tersebut dimasukkan dalam aplikasi penerbangan mereka.

Sementara itu, Lapangan Terbang Gatwick menegaskan bahawa teknolgi tersebut tidak akan mengganggu data peribadi penumpang, tetapi informasi berkaitan kepadatan penumpang di sesetengah zon isyarat mungkin akan dianalisis untuk tujuan meningkatkan operasi lapangan terbang termasuk barisan beratur, perkemaskan aliran penumpang dan mengurangkan kesesakan. – AGENSI