Laluan masuk ke menara itu yang telah dikunjungi lebih enam juta pelancong tahun lalu, ditutup pada pukul 2 petang (9 malam waktu Malaysia) manakala kakitangannya telah pun bersiap sedia untuk melancarkan mogok.

Pihak pengurusan memaklumkan, kakitangan menara itu bertindak sedemikan selepas rundingan pihak kesatuan, Konfederasi Buruh Awam (CGT) dengan pihak pengurusan gagal mencapai sebarang persetujuan pada Rabu lalu.

Kakitangan menara itu berang terhadap keputusan yang dibuat pada bulan lalu yang mengarahkan mereka mengasingkan sebahagian daripada tiket harian ke Eiffel Tower.

Tiket berkenaan dikhususkan untuk orang ramai yang membeli lebih awal secara dalam talian dan memilih masa yang telah dijadualkan untuk melakukan lawatan.

Sebelum ini, hanya 20 peratus daripada jualan tiket untuk menaiki menara ‘Iron Lady’ setinggi 324 meter itu boleh ditempah lebih awal.

Menurut CGT, pihak pengurusan menara itu juga telah mula mengkhususkan lif tertentu berdasarkan jenis tiket yang dibeli pelancong, langkah yang akan ‘menyebabkan pelancong terpaksa beratur panjang dan bersesak’.

Lazimnya lif yang dikhususkan untuk mereka yang telah menempah awal tiket pada tengah hari hanya penuh sebahagian sahaja sedangkan ketika itu ramai pelancong yang baharu membeli tiket telah beratur panjang sehingga tiga jam di hadapan lif.

Malah permintaan bagi tempahan awal lif akan menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lama dan melepasi waktu lawatan yang dijadualkan.

Wakil CGT, Denis Vavassori berkata, keadaan tersebut menyebabkan kakitangan menara itu hilang sabar manakala pelancong kecewa terpaksa menunggu lama.

Kakitangan menara berkenaan mahu semua lif dibuka untuk semua pelancong tanpa mengambil kira jenis tiket yang dibeli.

Sementara itu SETE, syarikat yang mengendalikan pembelian tiket dalam talian memaklumkan, pihaknya berjaya menjual 10,000 tiket dalam talian setiap hari dan ‘masa menunggu adalah sangat singkat’.

“Bagi pelancong yang datang tanpa tiket, masa menunggu di kaunter keluar, bahagian bawah Eiffel Tower adalah sama seperti tahun lalu walaupun jumlah pelancong meningkat,” katanya.

Mogok kakitangan menara berjumlah 300 orang itu seringkali berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini antaranya puncanya adalah masalah seluk saku sehinggalah kerja penyelenggaraan.

Dalam pada itu, semalam kawasan menara itu tidak dikosongkan manakala pelancong yang masih berada dalam kawasan berkenaan dibenarkan untuk menghabiskan lawatan.

Seorang pelancong dari Korea Selatan, Yunhyie Park berkata, dia tidak menyedari tentang bantahan itu ketika tiba bersama-sama ibu bapanya di menara berkenaan.

“Sehari sebelum itu kami ada terdengar tentang bantahan tersebut dan menyifatkannya tidak benar tetapi hakikatnya benar-benar berlaku. Ini sangat memalukan,” katanya. – AFP