ED SHEERAN

Pemuzik berusia 26 tahun itu mengesahkan pembatalan konsert di Taipei, Osaka, Seoul, Tokyo dan Hong Kong, menurut kenyataan yang dimuat naik kepada 17.5 juta pengikutnya di Instagram bersama gambar lengannya yang masih berbalut.

“Lawatan ke doktor saya mengesahkan pergelangan tangan kanan dan siku kiri saya retak, menyebabkan saya tidak dapat meneruskan siri konsert yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Saya sedang menunggu untuk melihat proses penyembuhan sebelum dapat membuat keputusan mengenai rancangan konsert seterusnya. Nantikan maklumat lanjut,” katanya.

Sheeran dijadualkan mengadakan konsert jelajah terbesar di Asia yang akan bermula 22 Oktober hingga 19 November ini di Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina, Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)-AFP.