Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, 12 buah rumah dibina di Kampung Pengembok, Lombok Utara, manakala lapan di Kampung Sukadatu di Lombok Timur.

"Setiap Rumah Senyum dibina dengan kos RM12,000 yang dilaksanakan oleh sukarelawan.

"Rumah Senyum ini mampu bertahan selama beberapa tahun sebelum mangsa gempa ini dapat mendirikan semula kediaman mereka yang ranap akibat bencana alam berkenaan baru-baru ini," katanya yang menyertai misi kemanusiaan ke Lombok, semalam.

Misi kemanusiaan selama tiga hari itu disertai kira-kira 20 ahli pertubuhan bukan kerajaan, MyCare dan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh.

Delegasi diketuai oleh Pengerusi MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar, manakala KRS Musleh oleh Pengerusinya, Abd. Rahaim Md. Isa.

Mas Imran berkata, selain membina Rumah Senyum, pihaknya turut memberikan bantuan makanan ringan kepada kanak-kanak dan barang keperluan untuk golongan wanita.

"Pihak Econsave juga menyumbang sebanyak RM1,000 bagi pembinaan semula sebuah masjid yang terpaksa dirobohkan kerana tidak selamat lagi digunakan di Kampung Sembalun di kaki Gunung Rinjani," katanya.

Menurutnya, Econsave memberi sumbangan keseluruhan berjumlah RM50,000 pada misi kemanusiaan kali ini. - UTUSAN ONLINE