Hanya 11 peratus daripada 1,200 rakyat Filipina yang ditemu bual agensi Social Weather Stations (SWS) berkata, mereka tidak berpuas hati dengan pentadbirannya.

Tinjauan itu memberikan Duterte penilaian kepuasan sebanyak 64 peratus dan permulaan yang lebih baik berbanding Pre­siden terdahulu termasuk Benigno Aquino, Joseph Estrada dan Gloria Macapagal Arroyo, namun kurang daripada 66 peratus yang pernah dicapai Fidel Ramos pada 1992.

Penilaian itu dikira dengan menolak 11 peratus daripada 76 peratus responden yang berpuas hati terhadap Duterte dan 13 peratus yang memilih untuk berkecuali tetapi SWS tidak meminta responden memberikan alasan.

Tinjauan itu diadakan dari 24 hingga 27 September lalu selepas Duterte bertelagah dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung kritikan terhadap kempen antidadahnya.

Duterte menang pilihan raya pada 9 Mei lalu selepas berjanji meluaskan kempen antijenayahnya ketika menjadi Datuk Bandar Davao, yang membuatkan beliau menerima gelaran ‘The Punisher’ dan ‘Duterte Harry’.

Penganalisis politik, Nelson Navarro berkata, tinjauan SWS menunjukkan rakyat Filipina berasa lebih selamat kerana Duterte menunaikan janji memerangi jenayah dan dadah yang sudah meragut 3,400 orang setakat ini.

Beliau berkata, gaya kasar dan ledakan kata-kata yang kurang sopan terhadap AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mencemarkan namanya, namun penyokongnya sanggup berhimpun untuk membela pe­mimpin itu.­

“Pendirian tegas beliau telah membantunya meraih populariti di seluruh Filipina.

“Ramai yang menentang Duterte kerana pembunuhan di luar undang-undang tetapi perkara ini memberi tamparan kepada persepsi Barat,” kata Navarro. –REUTERS