Pengakuan itu didedahkan bekas­ anggota skuad pem­bunuh, Edgar Matobato, 57, hari ini di Parlimen yang menyiasat dakwaan pembunuhan di luar bidang kuasa membabitkan kempen antidadah pemim­pin tersebut yang sehingga kini me­ngorbankan 3,140 orang dalam masa hanya 72 hari menjadi Presiden.

Turut hadir Ketua Pengarah Polis Kebangsaan Filipina, Do­nald Dela Rosa yang kelihatan tidak senang duduk sepanjang Matobato memberikan kenyataan.

Matobato dalam pengakuannya berkata, Duterte mengarahkan pembunuhan kira-kira 1,000 orang dalam tempoh 25 tahun yang dilaksanakan oleh skuad pem­bunuh, polis dan bekas pem­be­rontak komunis.

Malah, katanya, seorang daripada mangsa diberi makan hidup-hidup kepada buaya.

Jelas Matobato, selain ditembak mati, mangsa turut dibunuh dengan kejutan elektrik dan dibakar sebelum ditanam di sebuah kuari milik seorang pegawai polis yang juga anggota skuad pembunuh, sementara ada juga mayat dicampak ke laut.

Dia turut menceritakan ba­gai­mana Duterte menembak mati ka­kitangan jabatan kehakiman yang dinamakan sebagai Jamisola pada 1993.

“Ketika itu saya dan anggota skuad menyertai satu misi apa­bila kami secara tiba-tiba ter­serempak dengan sekatan jalan oleh kakitangan Biro Siasatan Ke­bangsaan dari Jabatan Kehakiman.

“Satu pergaduhan tercetus di­susuli insiden berbalas tembakan. Tidak lama kemudian, Duterte ti­ba di lokasi kejadian. Jamisola ma­sih hidup ketika itu. Duterte menembak mati mangsa dengan berpuluh-puluh das tembakan,” ujarnya yang menyerah diri ke sebuah ba­dan siasatan pada 2009.

Matobato menambah, skuad dianggotainya membunuh penjenayah, perogol, pengedar dadah dan peragut hampir setiap hari.

“Kami juga membunuh musuh peribadi keluarga Duterte dari tahun 1988 hingga 2013,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Duterte, Martin Andanar berkata, mustahil untuk Duterte mengarahkan pembunuhan 1,000 orang.

“Saya tidak rasa beliau memberi arahan sedemikian. Suruhanjaya Hak Kemanusiaan telah lama menyiasat perkara ini dan tiada dakwaan dikemukakan,” katanya. – AFP