Beliau mengesahkan kejadian itu didalangi oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dan telah memberi lebih kuasa kepada pasukan keselamatan untuk melipatgandakan usaha memerangi jenayah, dadah dan pemberontakan.

“Ini bukan undang-undang tentera tetapi saya mesti mengisytiharkan darurat di negara ini. Ini ancaman kepada rakyat dan negara, saya mempunyai tugas untuk melindungi negara ini,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di Davao hari ini.

Duterte, 71, yang merupakan bekas Datuk Bandar Davao sedang menghadiri satu mesyuarat yang diadakan kira-kira 12 kilometer dari bandar Davao semasa letupan itu berlaku.

Beliau turut membatalkan kunjungan ke Brunei hari ini yang merupakan lawatan pertamanya ke luar negara sejak menjawat jawatan berkenaan namun akan tetap menghadiri Persidangan ASEAN dan Asia Timur yang dijadualkan di Laos, minggu depan.

Letupan tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah pasar di luar Hotel Marco Polo yang sering dilawati Duterte untuk menghadiri mesyuarat semasa kempen pilihan raya pada Mei lalu.

Sejak kebelakangan ini terdapat khabar angin tentang ranca­ngan untuk membunuh Duterte berikutan kempennya memera­ngi dadah yang menyebabkan lebih 2,000 orang terbunuh namun perkara itu dinafikan sendiri oleh pemimpin terbabit.

Khamis lalu, jurucakap Duterte, Ernesto Abella ketika ditanya tentang ancaman bunuh itu berkata: “Perkara tersebut memang ‘sarapan paginya’ setiap hari. Ini bukan perkara baharu.”

Sementara itu, Datuk Bandar Davao, Sara Duterte yang juga anak perempuan kepada Duterte memaklumkan Pejabat Presiden telah mengesahkan kejadian itu dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf sebagai tindakan balas dendam.

Setiausaha Pertahanan Negara, Delfin Lorenzana memberitahu, kumpulan Abu Sayyaf bertindak balas selepas ramai anggotanya terbunuh di kubu kuat mereka di Jolo yang terletak 900 kilometer dari Davao. – AGENSI