Durian yang dikenali sebagai J-Queen itu dijual dengan harga Rp14 juta sebiji (RM4,074) di pusat beli-belah Plaza Asia, Tasikmalaya, Jawa Barat. Harga tersebut adalah tiga kali ganda lebih banyak berbanding purata gaji bulanan kebanyakan pekerja di Indonesia.

Durian yang jarang ditemui itu dikatakan hanya berbuah tiga tahun sekali. Setiap pokok durian J-Queen tidak menghasilkan buah yang banyak iaitu maksimum sebanyak 20 biji.

Menurut laporan Cable News Network (CNN), durian J-Queen adalah hasil kacukan beberapa jenis durian berkualiti tinggi yang dilakukan oleh pelajar psikologi bernama Aka, 32, dari Yogjakarta, Indonesia.

Buah tersebut juga dikatakan berjaya mengalahkan durian Musang King daripada segi rasanya. Durian J-Queen dikatakan mempunyai isi berwarna emas dengan rasa yang begitu manis dan berlemak seperti mentega. Selain itu, 95 peratus durian J-Queen dikatakan tidak mempunyai biji.

Durian tersebut juga pernah memenangi pertandingan di Pulau Pinang.

Pada hari pertama durian J-Queen dipasarkan, pihak pasar raya hanya mempamerkan dua daripada empat biji. Menariknya, buah durian tersebut laris dijual pada hari yang sama walaupun harganya mahal.

Harga yang mahal membuatkan durian tersebut menjadi tular dalam media sosial sehinggakan orang ramai sanggup beratur panjang semata-mata untuk bergambar dengan durian J-Queen. - Skynews