Menteri Luar Perancis, Lauren Fabius dalam pengumumannya berkata, perjanjian itu dicapai selepas 195 buah negara berunding selama dua minggu bagi mencari penyelesaian antarabangsa untuk memastikan pencemaran yang dicetuskan manusia tidak mencapai tahap berbahaya.

Antara langkah penting yang dipersetujui adalah peralihan penggunaan tenaga minyak berasaskan hasil fosil yang melepaskan gas rumah hijau, bahan kimia yang menyebabkan kenaikan suhu dunia dan mengubah sistem iklim Bumi.

Kesemua negara bersetuju mencari tenaga alternatif yang lebih bersih seperti tenaga solar dan angin, selain meningkatkan keberkesanan penggunaan tenaga seperti kuasa nuklear yang tidak melepaskan gas rumah hijau.

Berdasarkan pelan setebal lebih 31 muka surat itu, kesemua wakil negara juga bersetuju menunjukkan komitmen untuk mengehadkan kenaikan purata suhu dunia di bawah dua darjah Celsius berban­ding tahap pra-industri.

Persetujuan juga dicapai untuk berusaha mencapai sasaran yang lebih tinggi iaitu mengehadkan suhu di bawah 1.5 darjah Celsius, seperti yang diminta oleh kebanyakan negara pulau.

Bagi mencapai sasaran tersebut, kesemua negara terlibat bersetuju mencapai puncak pelepasan gas rumah hijau secepat mungkin antara tempoh tahun 2050 dan 2100, selain melaksanakan penanaman semula lebih banyak kawasan hutan dan membangunkan teknologi yang mengurangkan kesan karbon dioksida.

Perjanjian itu juga mengakhiri pertikaian antara negara kaya dan miskin berhubung cara untuk pelan yang menelan belanja berbilion dolar bagi mengekang kesan pemanasan global dan mengatasi kesan yang telah berlaku.

Pemimpin dunia dan saintis menyifatkan perjanjian tersebut sebagai kejayaan penting bagi menangani isu pemanasan global dan kesan buruk akibat perubahan iklim dunia yang mencetuskan musim kemarau berpanjangan, banjir dan kejadian taufan kuat. – DPA/REUTERS