SOFIA - Seekor lembu bunting dari Bulgaria dijatuhkan hukuman mati kerana ‘didakwa’ menyeberangi sempadan ke Serbia secara ‘haram’.

Lapor Oddity Central, lembu dikenali sebagai Penka itu tidak boleh pulang ke Bulgaria tanpa dokumen yang diperlukan.

Penka dikatakan melarikan diri dari sebuah kandang di perkampungan Kopilovtsi dan menyeberangi sempadan ke Serbia, yang bukan negara anggota Kesatuan Eropah (EU). Pemilik lembu terbabit, Ivan Haralampiev dan anak-anaknya cuba mencari Penka selama dua minggu.

Malah, Haralampiev memaklumkan mengenai kehilangan Penka kepada pengawal sempadan, polis tempatan dan juga datuk bandar di perkampungan bersebelahan.

Namun, Haralampiev menerima khabar bahawa Penka dikesan di Kampung Bosilegrad, Serbia, di mana ia dijaga oleh penduduk di situ.

Lelaki itu pergi ke kampung berkenaan untuk mengambil semula Penka tetapi menerima khabar buruk sebaik sahaja mahu pulang semula ke Bulgaria.

Meskipun doktor veterinar Serbia memeriksa kesihatan dan membenarkan haiwan itu dibebaskan, tetapi pihak berkuasa sempadan memberitahu Haralampiev menurut undang-undang EU, Penka perlu ‘dimatikan’ kerana memasuki Bulgaria dari negara bukan EU.

“Seorang veterinar datang dan mengarahkan Penka supaya ‘dimatikan’,” kata Haralampiev.

Pihak berkuasa Bulgaria tidak kisah mengenai Penka yang dijangka melahirkan anak dalam tempoh tiga bulan lagi, kerana bagi mereka, undang-undang EU perlu dipatuhi.