Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber berkata, tindakan itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan agama-agama lain.

Dalam satu perbualannya de­ngan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, Sheikh Sabah Al-Ahmad turut menyuarakan soko­ngan terhadap sebarang tindakan negara itu bagi mengekalkan keselamatan dan memerangi serangan pengganas.

Jelasnya, Kuwait mengutuk semua tindakan keganasan selain menyokong usaha antarabangsa untuk menghapuskan kumpulan tersebut.

Beliau turut memuji peranan Arab Saudi dalam memerangi ke­ganasan dan pemantauan pasukan keselamatan negara itu yang berjaya mematahkan cubaan serangan pengganas berkenaan semalam.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan turut mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan jenayah kejam itu telah membuktikan sejauh mana kumpulan berkenaan boleh bertindak.

“Tiada manusia yang siuman yang boleh memberi penjelasan terhadap perbuatan jenayah ini,” katanya menerusi satu kenya­taan.

Menurut beliau, ekoran sera­ngan berkenaan, negaranya akan meningkatkan usaha untuk me­merangi mereka yang menyokong keganasan.

Dalam pada itu, Bahrain juga menyuarakan perkara yang sama selain menegaskan perbuatan keji pengganas itu adalah bertentangan dengan nilai moral semua agama.

Melalui satu kenyataannya, negara itu menyuarakan penghargaan terhadap peranan besar yang dimainkan Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Salman yang sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan kepada jemaah umrah di Masjidilharam.

Negara itu juga menyokong penuh semua tindakan dan langkah yang dilakukan Arab Saudi untuk menghapuskan pertubuhan pengganas.

Selain itu Bahrain turut me­negaskan perlunya kerjasama rapat antarabangsa untuk menghapuskan kumpulan itu yang telah me­ngancam penduduk dan banyak negara selain menolak negara-negara yang menyokong dan membiayai pertubuhan ber­kenaan.

Pada masa yang sama, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam serangan itu dan memuji kejayaan pasukan keselamatan Arab Saudi yang berjaya mematahkan cubaan tersebut.

Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Ahmad Al-Othaimeen berkata, pertubuhan itu mengutuk sebarang bentuk keganasan.

Malaysia turut mengutuk serangan itu dan menyifatkan keganasan tersebut kini merupakan ancaman global.

Kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra menegaskan, kejadian tersebut sekali lagi me­nunjukkan pentingnya ma­syarakat an­tarabangsa bersatu da­lam menanganinya.

Setakat ini tiada rak­yat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa sera­ngan tersebut.

Kementerian Luar menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau situasi berkenaan.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Media Jordan, Mohammed Momani turut me­ngutuk serangan itu dan menggesa sokongan kepada Arab Saudi dalam memerangi keganasan.

Menteri Agama Mesir, Mohamed Mokhtar Gomaa dan Mufti Besar negara itu turut me­ngutuk serangan itu dan menegaskan negaranya akan berdiri teguh bersama-sama Arab Saudi untuk me­merangi keganasan.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyuarakan perkara yang sama dan me­negaskan penduduk Palestin bersama-sama Arab Saudi memerangi pengganas dan puak pelampau. – AGENSI