Seramai lapan orang maut manakala lebih 67 lagi cedera apabila ribut ‘luar biasa kencangnya’ membadai barat Romania dengan kelajuan angin sehingga 100 kilometer sejam selain turut membawa kemusnahan di Serbia dan Croatia, lapor pihak berkuasa.

Pengangkutan darat dan kereta api mengalami gangguan di beberapa bahagian di Romania apabila banyak pokok tumbang dengan kebanyakan mangsa berada di luar ketika angin yang diluar jangkaan itu melanda.

Seorang lelaki dilaporkan dihempap pokok tumbang ma­nakala seorang lagi ditimpa papan iklan sementara dua kanak-kanak masih berada di hospital dalam keadaan kritikal.

Angin itu turut menerbangkan bumbung beberapa buah hospital, sekolah dan pangsapuri manakala puluhan bandar serta kampung bergelap akibat terputus bekalan elektrik. Malah, sekumpulan pelancong dilaporkan turut terkandas selama satu jam di daerah utara kawasan pelancongan Maramures.

Di Serbia, seorang lelaki hilang di Sungai Danube berhampiran Belgrade dan enam orang, terma­suk kanak-kanak berusia lima tahun parah akibat dihempap pokok.

Di Jepun, taufan Talim yang melanda tiga pulau utama dan kawasan barat Jepun sejak ma­lam semalam telah meragut dua nyawa manakala tiga lagi masih hilang dengan lebih 38 dilaporkan cedera.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, taufan yang membawa angin kencang selaju 162 kilometer sejam dan hujan lebat itu membadai Okinawa sebelum bergerak ke Kyusyu, Hokkaido dan kawasan lain di Jepun, menyebabkan lebih 116 penerbangan terpaksa dibatalkan serta amaran tanah runtuh.

Di Vietnam, Taufan Doksuri dilaporkan telah membunuh sembilan orang dengan empat lagi masih hilang selepas membadai wilayah tengah negara itu sejak hari Jumaat lalu.

Bencana alam yang disifatkan antara terburuk itu turut menyebabkan 112 orang dari wilayah Quang Binh dan Quang Tri cedera.

Taufan itu juga telah mero­sakkan lebih 152,599 buah rumah, memusnahkan 1,559 tiang elektrik, menenggelamkan 190 buah bot nelayan, membanjiri hampir 4,500 hektar sawah padi dan 8,300 hektar tanaman lain.

Sementara itu, di Caribbean, Taufan Maria yang mula berge­rak ke arah timur Caribbean dijangka menyusuri laluan sama dengan kawasan yang dibadai taufan Irma awal bulan ini.

Pusat Taufan Nasional Amerika Syarikat (AS) memberi amaran taufan berkenan bakal membawa bencana alam yang buruk dan menjadi ancaman kepada wilayah Perancis di Guadeloupe, iaitu pusat operasi bantuan beberapa buah pulau yang dilanda taufan Irma.

Pihak berkuasa Guadeloupe, Dominica, St Kitts, Nevis, pulau Montserrat dan Martinique di Perancis dilaporkan telah mengeluarkan amaran peringkat merah dengan sekolah, perniagaan dan pejabat kerajaan diarah tutup. – Agensi