Bahkan kemarau di Eropah menyebabkan tanah subur de­ngan tumbuhan menghijau bertukar tandus manakala masyarakat di Jepun dan Korea turut terpaksa ‘kepanasan’ apabila negara itu mencatat suhu paling tinggi.

Menurut saintis, perubahan iklim telah berlaku dan menjejaskan bukan sahaja beruang kutub atau pulau kecil yang terdedah dengan ancaman paras air me­ningkat, malah seluruh penduduk dunia.

Ujar saintis, seluruh masya­ra­kat dunia termasuklah rakyat Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia mengalami perkara serupa dan bukti sedia ada me­nunjukkan fenomena ini akan bertambah buruk.

Musim panas ini, seramai 119 orang di Jepun maut akibat gelombang bahang panas, manakala 29 lagi meninggal du­nia di Korea Selatan, menurut para pegawai di kedua-dua negara berkenaan.

Sementara itu, 94 orang terkorban dalam kebakaran hutan di Greece dan kebakaran berterusan di California menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang maut. Malah, api kini marak ke kawasan berpenghuni.

Kejadian serupa juga dirasakan di Sepanyol dan Portugal apabila mencatatkan suhu panas yang paling tinggi dalam sejarah. Malah, tiga orang dilaporkan meninggal dunia di Sepanyol.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change pada musim panas lalu, gelombang panas melampau akan bertambah kerap dan berlaku di kebanyakan tempat di planet Bumi ini dalam tempoh beberapa dekad lagi.

Gelombang panas melampau tidak dapat dinafikan adalah salah satu kesan langsung yang terjadi akibat perbuatan manusia sendiri.

Menariknya, para saintis kini mampu mengesan perubahan ik­lim atau fenomena cuaca tertentu yang disebabkan oleh sikap ‘rakus’ manusia dengan menggunakan gabungan pemerhatian, data sejarah dan maklumat terkini dari stesen cuaca.

“Gelombang panas di Eropah adalah sekurang-kurangnya dua kali ganda berlaku disebabkan ‘campur tangan’ manusia.

“Berdasarkan pemerhatian di Ireland, ia adalah dua kali ganda dan kami tahu mengenainya berpandukan data dari semua stesen cuaca lain,” kata Karsten Haustein dari Projek Sifat Cuaca Dunia, sebahagian daripada Institut Perubahan Alam Sekitar, Universiti Oxford.

Satu laporan dikeluarkan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) baru-baru ini mendedahkan sesuatu yang kurang baik.

Pelepasan gas rumah hijau ia­itu karbon dioksida, metana dan nitro oksida - semuanya menca­tatkan peningkatan kepada paras yang melebihi rekod sedia ada pada tahun lalu.

Purata kepekatan karbon dioksida global adalah paling tinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 800,000 tahun.

Tahun lalu juga menyaksikan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelannya untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris, sekali gus memberi tamparan hebat berhubung usaha untuk menangani isu perubahan iklim.

Ini berikutan AS merupakan penyumbang kedua terbesar pe­le­pasan karbon dioksida dan tan­pa AS, perjanjian itu dilihat kurang memberi kesan besar.

Walaupun begitu, lebih ramai rakyat AS dilihat mula menerima perubahan iklim sedang berlaku.

Kira-kira 58 peratus rakyat AS percaya perubahan iklim adalah disebabkan oleh manusia, tetapi peratusan tersebut adalah rendah berbanding di kebanyakan negara membangun lain.

Menurut pengarah program Yale berhubung Komunikasi Perubahan Iklim, Anthony Leiserowitz, pemahaman orang ramai terhadap perubahan iklim adalah disebabkan mereka melihat dan mengalaminya sendiri.

“Orang ramai mula percaya apabila mereka melihat feno­mena cuaca yang berlaku di seluruh AS.

Ia berkaitan dengan pola - sekiranya berlaku satu atau dua kali, ia adalah kebetulan, tetapi jika terjadi sebanyak tiga, lima, 12 dan 22 kali, melihat fenomena yang hanya berlaku setiap 1,000 tahun sekali, terjadi dengan lebih kerap, maka orang ramai mula sedar, perubahan iklim sebenarnya menjejaskan cuaca dunia pada hari ini,” kata Leiserowitz.

Dalam pada itu, kumpulan alam sekitar menyeru seluruh penduduk Bumi untuk memberikan komitmen yang lebih jitu dalam memastikan iklim dunia bertambah baik.

“Kesemua negara perlu mela­kukan langkah tambahan untuk tujuan transformasi. Negara-ne­ga­ra lain perlu melangkah ke depan dan menggunakan setiap cara yang ada untuk memaksa AS bertindak,” ujar Claire Norman, yang bercakap bagi pihak Friends of the Earth di UK.