Renjer berkenaan di serang hendap semasa melakukan rondaan bermotosikal di daerah Nongchik, Pattani, satu daripada wilayah terjejas akibat konflik yang menyaksikan hampir 7,000 orang terbunuh.

Bangkok Post melaporkan, mereka yang terbunuh dikenal pasti sebagai Suchart Kongsuk dan Thanadet Chaimusik daripada Kompeni Pasukan Renjer 4303.

Anggota yang cedera dikenal pasti sebagai Uthai Prathumwan, Issarapong Kaewraksa, Anirut Wang-eaid dan Warakon Nimmak daripada pasukan sama.

Kesemua mereka dikejarkan dan diberikan rawatan di Hospital Nong Chik.

Timbalan Ketua Penyiasat Polis, Kapten Sarawut Nuchwang berkata, sebanyak dua orang renjer terbunuh di lokasi serangan manakala empat orang lagi cedera.

Namun katanya, jumlah penyerang dan identiti mereka masih tidak diketahui.

“Kami percaya serangan didalangi kumpulan tempatan sama yang aktif di daerah ini, mereka mahu mewujudkan situasi yang mencetuskan kekacauan,” kata jurucakap tentera wilayah selatan, Kolonel Pramote Prom-in.

Polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian di mukim Khao itu pada kira-kira pukul 9.45 malam.

Wilayah bersempadan Malaysia itu menyaksikan pemberontakan berdarah sejak lebih sedekad lalu ketika kumpulan pemisah berusaha mendapatkan lebih autonomi atau kemerdekaan untuk wilayah yang dihuni majoriti bangsa Melayu Islam berkenaan.

Sementara itu, Ketua Daerah Nong Chik, Ake Yang-apai mengetuai pasukan tentera dan pegawai tempatan memeriksa lokasi serangan pada pukul 10 malam di samping membincangkan rancangan untuk menjejak suspek. – AFP/AGENSI