Beberapa saksi memberitahu media tempatan, suspek dikenali sebagai David Katz, 24, berasal dari Baltimore merupakan salah seorang daripada peserta pertandingan dan berasa tidak puas hati selepas kalah.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada Katz mengenali kesemua mangsa yang ditembaknya.

Biarpun polis tidak mendedahkan nama mangsa yang terkorban, beberapa ahli keluarga mereka memaklumkan kepada media tempatan bahawa kedua-dua yang terbunuh dalam kejadian malang itu dikenali sebagai Eli Clayton dan Taylor Robertson yang juga merupakan peserta pertandingan.

Pejabat Sherif Jacksonville sebelum ini melaporkan  selain daripada 11 mangsa yang cedera akibat terkena tembakan rambang, dua lagi turut mengalami kecederaanketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut polis, Katz membunuh dirinya dan mayatnya ditemukan berhampiran dua mayat mangsa yang ditembak sebelum itu di sebuah pusat rekreasi, The Landing.

Sherif Jacksonville, Mike Williams enggan membuat sebarang ulasan berhubung insiden tersebut serta motif kejadian.

Dalam pada itu, beberapa media tempatan melaporkan, polis dan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyerbu kediaman Katz di selatan Baltimore lewat malam tadi dan merampas kenderaan suspek yang diletakkan berhampiran dengan lokasi pertandingan.

Kejadian itu berlaku ketika pertandingan permainan maya Madden 19 berlangsung di GLHF Game Bar yang terletak dalam sebiah restauran piza.

Para pemenang pertandingan tersebut berpeluang memasuki peringkat akhir dan memenangi hadiah bernilai AS$165,000 (RM676,201) di Las Vegas.

Selain itu, pihak penganjur memberi jaminan untuk bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan.

Insiden terbaharu itu berlaku selepas 17 pelajar di sekolah tinggi di Parkland terbunuh dalam insiden tembakan rambang pada Februari lalu dan dua tahun menyaksikan seorang lelaki menembak mati 49 orang di sebuah kelab malam di Orlando. – REUTERS