BBC melaporkan, in­s­i­den yang berlaku pa­da malam Rabu itu di wilayah Nangarhar yang bersempadan dengan Pakistan menyebabkan Joshua Rodgers, 22, dan Cameron Thomas, 23, maut ketika dalam perjalanan ke hospital.

Seorang lagi yang terkena tembakan ketika serangan berjaya diselamatkan dan dilaporkan da­lam keadaan stabil.

Pentagon dalam kenyataannya berkata, Tentera AS-Afghanistan (USFOR-A) telah menubuhkan sebuah pasukan penyiasat bagi menyiasat insiden yang menyebabkan dua anggotanya terbunuh.

“Siasatan awal mendapati dua anggota ini maut selepas terkena tembakan dari pasukan sendiri dengan tidak sengaja ketika sedang bertempur dengan militan Daesh.

“Bagaimanapun, kita telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden ini. Pada masa yang sama, kami telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga ma­sing-masing dan kini dalam proses menghantar pulang mayat.

“Kita kesal dengan insiden ini tetapi pada masa yang sama bangga dengan pengorbanan yang dilakukan oleh anggota kita di me­dan perang,” katanya.

Rodgers yang berasal dari Bloomington, Illinos merupakan ketua Renjer manakala Thomas dari Kettering, Ohio adalah pakar antiperisai.

Mereka berdua kemudian ditugaskan untuk mengikuti misi da­lam kumpulan Regimen Fort Benning, Georgia ke Af­ghanistan bersama-sama.

Menurut Pentagon, serangan pada hari Rabu lalu me­nya­sarkan ketua kumpulan ISIS-K yang dipercayai menyembunyikan diri di kawasan lembah Mamand.

“Kita juga telah berjaya membunuh kira-kira 35 anggota Daesh termasuk beberapa pe­mimpin bagi kumpulan itu hari itu,” katanya.

Sebelum itu, baru-baru ini tentera AS telah menjatuhkan ‘ibu segala bom’ di kawasan yang sama.