Alat berkenaan kini digunakan oleh kumpulan militan untuk melancarkan serangan bom, kimia atau biologi serta misi pe­ngintipan.

Pasaran dron komersial pula semakin berkembang sejak ke­be­lakangan ini berikutan penawaran dan penurunan harga yang meluas.

Dron empat rotor dipanggil quadcopter yang mampu terbang di udara dalam tempoh 20 minit dan boleh dikawal serta dikendalikan dari jarak lebih 1.6 kilometer, boleh didapati dengan mudah secara dalam talian pada harga kurang daripada AS$1,000 (RM4,102).

Kumpulan militan Daesh juga dilaporkan sering menggunakan dron untuk melakukan serangan dengan menjatuhkan bom atau merempuh infrastruktur yang lebih besar.

Terdapat juga kejadian yang menimbulkan kemungkinan se­ra­ngan terhadap ketua negara sejak akhir-akhir ini.

Pada Januari 2015, sebuah dron jatuh di halaman White House selepas pengendalinya hilang kawalan, menyebabkan kebimbangan bahawa kediaman Presiden Amerika Syarikat (AS) mungkin terdedah kepada ancaman serangan.

Beberapa bulan kemudian, se­­orang lelaki yang membantah dasar nuklear Jepun menjatuhkan sebuah dron membawa pasir radioaktif dari bencana nuklear Fukushima ke pejabat Perdana Menteri.

Bulan lalu, pasukan kesela­matan Arab Saudi menembak jatuh dron rekreasi berhampiran istana diraja, yang mendorong spekulasi percubaan rampasan kuasa.

Pentadbiran Penerbangan Per­­sekutuan (FAA) telah mengeluarkan beberapa peraturan untuk mengawal penggunaan dron, ter­masuk mengeluarkan lesen dan menyekat ruang udara.

Lebih daripada 100,000 sijil juruterbang jarak jauh telah diberikan oleh FAA sejak peraturan baharu itu dikuatkuasakan pada Ogos 2016.

Jabatan Pertahanan AS juga memohon dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.1 bilion) untuk langkah-langkah mengekang sera­ngan dron dalam bajet yang dicadangkan pada 2019.

Bagaimanapun, seorang peng­ana­lisis kese­lamatan, Scott Stewart da­lam penulisannya menjelaskan, dron untuk kegunaan keten­teraan amat sukar diperoleh, ma­­nakala bahan letupan buatan sen­diri pula tidak mencetuskan banyak bahaya.

Pakar psikologi, bagaimanapun mengatakan impak dan kesan psikologi daripada serangan kecil dron yang berjaya adalah jauh lebih besar daripada kerosakan fizikal yang dicetuskan.

Bahkan, ia menjadi matlamat menyebarkan keganasan yang banyak dilakukan kumpulan militan seperti Daesh dan al-Qae­da dalam misi mereka.

Dari aspek psikologi, sera­ngan menggunakan akaun Twitter dan dron mainan sahaja sebenarnya boleh mencetuskan suasana panik dan kebimbangan berterusan walaupun tidak mengorbankan nyawa atau mencederakan sesiapa.

Tanpa diberikan kawalan yang sepatutnya, tidak dinafikan ia mampu memberikan ancaman di mana-mana sahaja termasuk di Malaysia.