Plot rampasan kuasa tersebut yang disertai beribu-ribu tentera bermula kira-kira pukul 7.29 malam semalam waktu tempatan (12.29 tengah malam waktu Malaysia) apabila sekumpulan askar menutup dua buah jambatan utama, Jambatan Bosphorus dan Jambatan Fatih Sultan Mehmet di Istanbul sebelum beberapa bangunan kerajaan di ibu negara dikepung menggunakan kereta kebal termasuk Istana Presiden dan ba­ngunan Parlimen.

Kumpulan tentera perampas yang menggelar diri mereka sebagai Majlis Keamanan Tanah Air juga menggunakan helikopter pe­nyerang serta jet tempur dan mengumumkan rampasan kuasa menggulingkan Erdogan berjaya dilakukan kira-kira sejam kemudian.

Namun Ergodan yang ketika itu sedang bercuti di Marmaris, barat daya Turki sebelum dibawa ke lokasi rahsia, menyeru rak­yatnya turun ke jalanan bagi membantah rampasan kuasa itu yang bertujuan menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara sah.

Presiden berusia 62 tahun itu menyifatkan rampasan kuasa terbabit sebagai satu pengkhianatan dan dalang kejadian tersebut akan menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka.

“Bendera Turki merupakan penghormatan kepada saya, negara saya merupakan penghormatan kepada saya dan saya bersedia untuk mati bagi mempertahankan negara ini,” katanya.

Ternyata seruan Erdogan disahut apabila berjuta-juta rakyat bangkit menentang pihak tentera itu.

Pertempuran juga tercetus di beberapa lokasi selama beberapa jam membabitkan askar perampas kuasa dan rakyat biasa yang disokong pihak polis, menyebabkan sekurang-kurangnya 265 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam dan anggota polis manakala seramai 1,440 mangsa cedera.

Kebangkitan rakyat itu menyebabkan askar pembelot terpaksa tunduk kepada pengaruh besar Erdogan dan mula menye-rah diri kepada polis kira-kira pukul 12.45 tengah malam (5.45 pagi waktu Malaysia) selain tentera yang setia kepada Erdogan melancarkan serangan ke atas kereta kebal dan pesawat yang dikuasai pihak lawan.

Malah pasukan keselamatan Turki menyelamatkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Hulusi Akar yang dijadikan tebusan di pangkalan tentera Akinci di barat laut ibu negara dan membawa mangsa ke lokasi selamat.

Panglima Angkatan Tentera sementara yang dilantik menggantikan Hulusi, Jeneral Umit Dundar mengumumkan rampasan kuasa tersebut telah gagal dan seramai 2,839 askar ditahan di seluruh Turki tidak termasuk hampir 200 askar yang menyerah diri di ibu pejabat tentera di Ankara.

Dalam pada itu, Lembaga Ter­tinggi Badan Kehakiman Turki menggantung keahlian lima ahli lembaga pengarahnya dan 2,745 orang hakim susulan cubaan rampasan kuasa berkenaan.

Terdahulu, sebuah helikopter tentera Turki dilaporkan mendarat di Alexandroupoli, Greece, membawa lapan anggota askar yang cuba mendapatkan suaka politik. – AFP/REUTERS