Kemenangan besar Drake sudah dijangka apabila penyanyi itu menerima 22 pencalonan untuk anugerah terbabit antaranya, artis paling popular, artis lelaki paling popular dan album yang mengungguli carta Billboard 2000 dengan album View.

“Saya membawa seluruh ahli keluarga saya di majlis ini,” kata Drake yang menaiki pentas bersama hampir 24 ahli keluar­ganya termasuk ibu bapa beliau, Lil Wayne dan Nicki Minaj.

Drake mengalahkan calon-calon terkenal lain antaranya Beyonce, Justin Bieber, Rihan­na, Adele, Ariana Grande, the Weeknd, Shawn Mendes dan Chainsmokers bagi hadiah utama.

Daripada senarai pencalonan itu, hanya Drake dan Chainsmokers hadir dalam majlis yang berlangsung di Arena T-Mobile, Las Vegas.

Dalam pada itu, nama-nama besar lain turut membolot Anugerah Muzik Billboard 2017 antaranya Cher yang menerima anugerah Ikon.

Kumpulan boy band Korea, BTS turut memenangi anugerah artis sosial popular selain berjaya mendapat tepukan ge­muruh penonton.

Turut mencuri tumpuan adalah Celine Dion yang mendendangkan lagu My Heart Will Go On yang merupakan lagu runut bunyi bagi filem Titanic yang menyambut ulang tahun ke-20 filem tersebut pada tahun ini.

Sementara itu, Dan Reynolds daripada kumpulan Imagine dragons mengetuai sesi bertafakur ke atas mendiang vokalis Audioslave, Chris Cornell yang meninggal dunia, minggu lalu.

“Kami merakamkan penghormatan dan sa­yang kami kepada keluarga Cornell,” katanya. – AP