The New York Times melaporkan, Trump Jr. mengesahkan pertemuan dengan peguam Rusia, Natalia Veselnitskaya semalam tetapi mendakwa tiada sebarang maklumat berguna mengenai Hillary yang dikongsi.

Turut hadir dalam pertemuan di Trump Tower, New York, dua minggu selepas Trump menang pencalonan Parti Republikan itu adalah menantu Trump, Jared Kushner dan Pengerusi Kempen Pilihan Raya Trump, Paul J. Manafort.

Perkara itu dianggap sebagai pertemuan peribadi pertama yang disahkan antara seorang warga Rusia dan seorang anggota perhimpunan dalaman Presiden Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan mereka sedang menyiasat hubungan antara kempen pilihan raya calon Parti Republikan, Donald Trump dan Rusia yang dilihat cuba mempengaruhi pilihan raya Presiden AS pada tahun lalu.

Trump Jr. memberitahu, pertemuan itu langsung tidak masuk akal dan kenyataan yang diberikan juga tidak jelas.

“Tiada perincian mengenai maklumat sokongan yang diberi. Beliau tidak mempunyai maklumat yang berguna,” kata kenyataan itu.

Beliau juga memberitahu, Veselnitskaya kemudian menukar topik perbualan kepada pengambilan kanak-kanak Rusia sebagai anak angkat dan mengenai undang-undang AS yang menyenaraihitamkan warga Rusia dikaitkan dengan salah laku hak asasi manusia.

Trump Jr. ber­kata, beliau diminta menyer­tai mesyuarat de­ngan seorang individu yang di­fahamkan mempunyai maklumat bagi membantu kempen atas permintaan kenalannya daripada pertandingan ratu cantik Miss Universe 2013.

Beliau berkata, pertemuan itu berlangsung selama 30 minit dan meminta maaf kerana membazirkan masa Kushner dan Manafort.

Dalam pada itu, jurucakap pasukan peguam Trump, Mark Corallo menegaskan, Trump tidak mengetahui atau menyertai pertemuan itu.

Sementara itu, Trump bercadang untuk bekerjasama dengan Rusia bagi membentuk sebuah unit keselamatan siber untuk melindungi isu penggodaman dalam kempen pilihan raya negara itu.

Trump mengambarkan hasil perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin sebagai positif dan mengeratkan kerjasama kedua-dua negara.