Perdebatan berhubung maklumat risikan oleh seorang bekas ejen perisikan Britain baru-baru ini dalam kalangan orang ramai nampaknya lebih hangat diperkatakan berbanding tindakan Trump melantik menantunya, Jared Kushner sebagai Penasihat Kanan White House yang bertanggungjawab mengendalikan perjanjian perdagangan dan isu Asia Barat, satu langkah yang dikatakan tidak melanggar undang-undang antinepotisme.

Pada masa yang sama, kontroversi itu juga tidak kurang hebatnya dengan kenyataan retorik Trump sepanjang tempoh berkempen sebelum pilihan raya Presiden AS pada tahun lalu yang membuatkan banyak pihak di dalam dan luar negara bimbang tentang apa yang akan dilaksanakannya sebaik sahaja mengangkat sumpah pada 20 Januari ini.

Keadaan menjadi lebih kalut berikutan tindakan organisasi berita Buzzfeed menyiarkan laporan sulit yang tidak disahkan tentang rahsia yang dikumpulkan oleh musuh tradisinya, Rusia tentang maklumat peribadi dan kewangan Trump sekali gus bakal mendedahkan Presiden itu kepada ancaman berbentuk ugutan oleh Moscow.

Dokumen rahsia setebal 35 surat itu yang didakwa ditulis oleh bekas anggota risikan M16, Christopher Steele, sebelum di­ringkaskan kepada dua muka surat dan hanya didedahkan kepada Presiden Barack Obama, Trump dan sekumpulan Senator daripada Jawatankuasa Risikan Senat.

Susulan pendedahan laporan sulit tersebut, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dikatakan sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan pasukan Trump mengadakan perjum­paan dengan pegawai Rusia semasa kempen pilihan raya.

Malah, Jawatankuasa Risikan Senat melancarkan usaha menyi­asat komunikasi antara Kremlin dan ahli pasukan kempen Trump termasuk yang akan menyertai pentadbirannya.

Kemunculan dokumen ber­kenaan turut memburukkan kepercayaan anggota-anggota Kongres terhadap bakal Presi­den yang didakwa memenangi pilihan raya Presiden pada November lalu dengan bantuan Rusia.

Lebih teruk, seorang anggota Kongres Demokrat, John Lewis menganggap Trump sebagai seorang Presiden tidak sah susulan spekulasi itu ketika Trump mengakui Rusia mungkin menggodam e-mel Parti Demokrat semasa pilihan raya.

Pada masa sama, imej Trump dalam kalangan media juga tercalar apabila beliau dengan lantang menyifatkan agensi media yang menyiarkan berita laporan sulit itu sebagai ‘sampah dan menjijikkan’.

Ketika media mempunyai etika dalam laporannya dan bertanggungjawab dalam setiap laporan, apa yang berlaku memperlihatkan Trump berdepan dengan masalah untuk membina keyakinan dan hubungan baik dengan pihak media apabila beliau berkuasa.

Ternyata, isu laporan sulit tersebut banyak memberi tekanan kepada Trump apatah lagi beliau mungkin terdedah kepada pendakwaan malah reputasinya terus terjejas sekiranya laporan di dalam dokumen sulit disahkan benar.

Selain itu, Trump juga bakal berdepan rasa tidak hormat dalam kalangan beribu-ribu penunjuk perasaan yang merancang berhimpun di Washington minggu ini bagi menggagalkan majlis angkat sumpah Trump sebagai Presiden, suatu yang dipercayai tidak pernah berlaku.

Kumpulan yang dikenali sebagai DisruptJ20 dengan kerjasama beberapa kumpulan merancang untuk menyekat beberapa laluan ke bangunan Capitol dengan mengadakan demonstrasi pada hari bersejarah itu dengan matlamat mahu Trump membatalkan niatnya bergelar Presiden.

Menurut pihak berkuasa, majlis angkat sumpah itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 800,000 orang dan jika jumlah kehadiran penonton jauh lebih rendah, perkara tersebut sudah pasti memalukan Trump.

Hal demikian kerana, majlis angkat sumpah Obama pada 2009 berjaya menarik kehadi­ran 1.8 juta orang dan kedata­ngan yang kurang juga mampu memberi tamparan kepada Trump.

Apa jua kontroversi yang berlaku, Trump dilantik oleh rakyat yang keluar me­ngundi dan bukannya dipilih oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Suka atau tidak, Trump bakal menjadi Presiden AS yang sah dan pengkritik termasuk penyokong Hillary Clinton terpaksa menerimanya sebagai ketua negara.