Mail Online melaporkan, insiden agak melucukan itu berlaku ke atas Dr. Emily Jacob dari Hospital dan Klinik Universiti Iowa yang ketika kejadian sedang hamil 36 minggu, kurang tiga minggu daripada tarikh dia dijangka melahirkan.

Bagaimanapun semasa dia bertugas syif malam pada 28 Julai lalu, Jacob yang ketika kejadian baru selesai membantu seorang wanita bersalin di sebuah bilik bedah merasa bahagian badannya ke bawah menjadi basah.

Namun Jacob masih tidak sedar air ketubannya telah pecah dan dia akan melahirkan anaknya sehinggalah dia menukar pakaiannya.

Menyedari air ketubannya te­lah pecah, Jacob dengan pantas bertukar menjadi pesakit ketika dia masih terkejut dan risaukan keselamatan bayinya ketika suaminya, Ryan dalam perjalanan ke hospital.

Malah, kakitangan dewan bersalin juga perlu mengubah peranan ma­sing-masing dengan pengajar atau secara teknikalnya ketua Jacob, Dr. Abbey Merryman bertindak selaku penasihat manakala rakan sekelas dan juga rakan Jacob, Dr. Keely Ulmer menyambut bayi rakan sejawat mereka.

Syukur, Jacob tidak me­ngalami sebarang kesukaran bersalin dan tepat pada pukul 3 petang 28 Julai, Jacob, Ryan dan ibu bapa kedua-dua pasangan itu menyambut kehadiran bayi comel, Jett Eric Jacobs.

Sementara itu, Jett se­perti bayi lain yang dilahirkan lebih awal mengalami masalah tekanan darah rendah dan jaundis namun dibenarkan pulang ke rumah setelah keadaannya sihat.