Mail Online melaporkan, Shi­gea­ki Hinohara menyandang ja­watan Pengarah Hospital Antarabangsa St. Luke itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Antara individu yang pernah dirawatnya termasuk bekas anggota kumpulan muzik legenda Britain, The Beatles iaitu Paul McCartney yang jatuh sakit ketika menyertai siri jelajah hiburan di negara ini pada tahun 2014.

Hinohara juga terkenal sebagai antara individu yang bertanggungjawab menghasilkan sistem perubatan bagi membolehkan Jepun menjadi salah sebuah negara yang memiliki ramai penduduk berusia lanjut ketika ini.

Dilahirkan pada tahun 1911 iaitu setahun sebelum tragedi tenggelam­nya kapal Titanic, Hinohara mula berkhidmat di hospital itu sejak tahun 1945 dengan me­rawat mangsa serangan bom dalam Perang Dunia Kedua di Tokyo.

Menurut seorang jurucakap hospital, tahap kesihatan Hinohara sebenarnya telah mula merosot sejak awal tahun ini.

“Bagaimanapun, dia (Hinohara) kerap singgah di hospital ini untuk merawat dan berbual dengan pesakit di sini,” katanya.

Selain dikenali sebagai pakar perubatan, Hinohara juga telah menulis kira-kira 75 buah buku termasuk sebuah buku yang laris jualannya pada usia 101.

Hinohara pernah memberitahu, beliau menjalani gaya hidup dengan minum jus oren bersama minyak zaitun untuk sarapan dan tenaga datang apabila badan berasa segar dan sihat, bukannya per­aturan hidup yang ketat.

“Paling penting jangan letihkan badan kita dengan terlalu banyak peraturan seperti waktu makan te­ngah hari dan waktu tidur,” katanya.

Tokoh hebat itu juga dilaporkan kerap menerima undangan untuk menjayakan program televisyen di Jepun ketika hayatnya masih ada.